ad

Belanjawan Selangor 2026: Pendidikan mampan, modal insan unggul demi masa depan

16 Nov 2025, 5:00 AM
Belanjawan Selangor 2026: Pendidikan mampan, modal insan unggul demi masa depan
Belanjawan Selangor 2026: Pendidikan mampan, modal insan unggul demi masa depan
Belanjawan Selangor 2026: Pendidikan mampan, modal insan unggul demi masa depan

SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Selangor memperuntukkan lebih RM136.2 juta bagi sektor pendidikan dan pembangunan modal insan dalam Belanjawan Selangor 2026, jumlah tertinggi dalam sejarah negeri dengan peningkatan lebih RM55 juta berbanding tahun lalu.

Peruntukan tersebut merangkumi pelbagai program di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Modal Insan Selangor, termasuk RM93 juta bagi program pendidikan, RM3.7 juta bagi pembangunan modal insan.

Sebanyak RM8 juta disalurkan untuk Program Iltizam Selangor Penyayang (IS) seperti Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT), Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) dan Iltizam Anak Selangor (Anas), manakala lebih RM31.5 juta diperuntukkan untuk Tabung Anak Warisan Selangor (Tawas).

Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah:

Pemilik selaku guru besar, Rusliza Pechok memantau sesi pembelajaran murid Tadika Cilik Ria, Sungai Buloh pada 27 Jun 2024. Foto Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

1. Pendidikan Awal dan Sekolah

-RM30 juta diperuntukkan bagi Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor untuk membaik pulih infrastruktur dan memperkukuh suasana pembelajaran di lebih 800 sekolah pelbagai aliran.

-Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) diteruskan dengan peruntukan RM2 juta, memberi manfaat kepada 3,700 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan bawah RM5,000.

-Subsidi yuran KAFA Integrasi (KAFAI) diteruskan dengan peruntukan RM5 juta, membantu anak B40 mengikuti pendidikan agama dengan yuran RM30 sebulan.

-Program Intervensi Literasi dan Numerasi (3M) diteruskan dengan RM1 juta, memberi manfaat kepada 25,000 murid di 661 sekolah.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam menunjukkan demostrasi reaksi masa (time reaction) selepas Majlis perasmian Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Karnival Eksplorasi STEM Negeri Selangor 2023/2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 29 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

2. Pendidikan STEM, Literasi dan Bahasa

-Program Intervensi STEM Selangor diperuntukkan RM250,000 untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

-Program Language Discovery @ PPAS menawarkan pembelajaran asas lapan bahasa asing secara dalam talian, dengan peruntukan RM350,000 oleh PPAS.

-Program Literasi Kewangan Pelajar, kerjasama dengan EastSpring Investments, diperkenalkan di 100 sekolah dengan peruntukan RM500,000.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melihat modul PTRS ketika melawat pameran selepas majlis pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

3. Pembangunan Pelajar dan Mahasiswa

-Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) diteruskan dengan RM3 juta, termasuk dua subjek baharu — Fizik dan Kimia — serta pengukuhan platform digital ePTRS.

-Kem Muafakat Kita Selangor diperuntukkan RM1 juta untuk memupuk perpaduan dan kerjasama antara pelajar pelbagai kaum.

-Elaun latihan amali (internship) dinaikkan kepada RM1,500 sebulan di bawah Program Bakat Beraspirasi, Bersedia dan Berpengetahuan Selangor (SPARK) dengan peruntukan RM1.5 juta.

-Program Pembangunan Pendidikan Masyarakat India dinaikkan kepada RM2.7 juta, termasuk bantuan yuran IPT dan subsidi tambang bas pelajar B40.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenaan melawat reruai pameran dalam majlis Hari Terbuka TVET 2025 Yayasan Raja Muda Selangor di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua, Hulu Langat pada 6 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

4. Pendidikan Tinggi dan TVET

-RM35.72 juta diperuntukkan bagi Program Pendidikan Tinggi, termasuk biasiswa, pembangunan mahasiswa dan pemerkasaan universiti negeri.

-RM20.48 juta disalurkan kepada Program Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) yang diterajui STDC, termasuk program TVET Wanita Selangor, Career on Wheels, dan Selangor Auto-X.

-RM10 juta diperuntukkan bagi naik taraf infrastruktur dan fasiliti di UNISEL, UIS, STDC dan asrama Yayasan Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyampaikan Anugerah Khas Dato' Menteri Besar kepada graduan Muhammad Adam Zikri Harun sempena Majlis konvokesyen ke-24 Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 26 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

5. Inisiatif Biasiswa dan Pendidikan Percuma

-Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) menerima RM15 juta untuk membantu lebih ramai pelajar Anak Selangor.

-Program BITARA diperuntukkan RM1 juta bagi membentuk pelajar cemerlang dan serba boleh.

-Program Hadiah Pengajian IPT (HPIPT) ditambah kepada RM5 juta, memanfaatkan 5,000 mahasiswa.

-Subsidi Yuran Pendidikan diperkenalkan dengan RM17.38 juta, menanggung 50 peratus yuran pengajian untuk 4,000 pelajar UIS dan UNISEL, menuju ke arah pendidikan percuma di Selangor.

6. Inisiatif Kanak-Kanak dan Modal Insan

-RM31.5 juta diperuntukkan untuk TAWAS, memberi manfaat kepada 21,295 ahli yang mencapai umur 18 tahun dengan bayaran RM1,500 seorang.

-Pelbagai inisiatif bawah Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) diteruskan bagi memperkukuh pembangunan awal kanak-kanak negeri.