SHAH ALAM, 14 NOV: Belanjawan Selangor 2026 memperuntukkan RM136,211,600 juta bagi sektor pendidikan dan pembangunan modal insan, menjadikannya jumlah tertinggi dalam sejarah dengan peningkatan lebih RM55 juta berbanding tahun lalu.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata peruntukan itu merangkumi RM93 juta untuk program pendidikan dan RM3.7 juta bagi pembangunan modal insan serta sosial.
Selain itu, sebanyak RM8 juta disalurkan di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) meliputi program Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT), Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) dan Iltizam Anak Selangor (Anas), manakala lebih RM31.5 juta diperuntukkan untuk Tabung Anak Warisan Selangor (Tawas).
“Kerajaan Negeri sentiasa konsisten mencorak agenda pendidikan demi melakar masa depan rakyat dan negeri yang lebih makmur kerana kita percaya reformasi pendidikan bukan satu pilihan tetapi keperluan yang mustahak.
“Peruntukan ini membuktikan tekad Kerajaan Negeri dalam membangunkan generasi masa depan yang bakal menjadi harapan bangsa,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Pada Belanjawan 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM79.95 juta untuk memperkasa agenda pendidikan dan pembangunan modal insan, termasuk RM69.35 juta bagi program pendidikan, RM2.6 juta untuk pembangunan modal insan dan sosial.
Selain itu, RM8 juta disalurkan bagi program pendidikan di bawah kerangka ISP.
Di bawah inisiatif pembangunan modal insan, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Program Pembangunan Modal Insan Penjawat Awam dengan peruntukan RM1 juta, bertujuan memperkasa keupayaan penjawat awam Selangor melalui kursus berimpak tinggi di dalam dan luar negara.




