SHAH ALAM, 14 NOV: Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi insentif Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) Selangor tahun depan, meningkat berbanding RM3 juta sejak diperkenal pada 2023.
Dato' Menteri Besar berkata menerusi inisiatif ini bantuan RM1,000 diberikan khusus kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang diiktiraf.
Menurut Dato' Seri Amirudin Shari bantuan ini diberikan kepada pelajar di peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
"Demi meneruskan hasrat murni Kerajaan Negeri dan memberi galakan kepada mahasiswa untuk terus berusaha menuntut ilmu, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi tujuan ini pada tahun 2026.
"Inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 5,000 mahasiswa berbanding RM3 juta bagi tahun sebelumnya," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, hari ini.
Tambah beliau, Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) akan dianjurkan lagi tahun depan dengan menggabungkan lima kandungan utama Program Pendidikan Selangor dengan peruntukan RM5 juta.
"Ia meliputi Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2026, Selangor Edu-STEM 2026, Ekspo Inovasi dan Penyelidikan Selangor (SRIE 2026), Selangor Skills 2026 dan Selangor Techsphere Summit 2026.
"Semua program ini mempromosikan ekosistem pendidikan negeri Selangor dan manfaat di bawah Iltizam KITASelangor Penyayang (Iltizam) berkaitan pendidikan kepada pengunjung," katanya.




