SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri akan melaksanakan program bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah seluruh Selangor bagi membanteras gejala buli dan jenayah dalam kalangan pelajar.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu diambil susulan beberapa insiden buli dan salah laku pelajar yang menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah.
“Sebagai reaksi terhadap isu yang berlaku baru-baru ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan program bersama PIBG di sekolah seluruh Selangor yang bakal memberi tumpuan kepada usaha membasmi masalah buli dan jenayah di sekolah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Amirudin sebelum ini menegaskan Selangor akan memantau dengan ketat isu buli di sekolah, khususnya di sekolah berasrama di bawah kelolaan Kerajaan Negeri.
Menurutnya, tiada kompromi terhadap perbuatan buli kerana ia memberi kesan psikologi dan fizikal yang serius, malah boleh mengancam nyawa.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan mendedahkan lebih 1,200 kes salah laku melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah direkodkan di Selangor antara Januari hingga Oktober tahun ini.
Daripada jumlah itu, 265 kes membabitkan buli, manakala 954 kes lagi melibatkan pelbagai salah laku lain.
Tambah Amirudin, menerusi Belanjawan Selangor 2026, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk melaksanakan Kem Muafakat Kita Selangor, iaitu inisiatif perpaduan berskala negeri yang menghimpunkan pelajar sekolah menengah daripada pelbagai latar belakang.
“Kem ini dirangka untuk menjadi platform yang selamat dan inklusif bagi mengukuhkan kefahaman antara kaum, menghapus jurang sosial serta memupuk semangat kebersamaan sejak usia remaja,” katanya.




