ad

Belanjawan Selangor 2026: RM30 juta tingkat prasarana sekolah, RM2.7 juta perkasa pendidikan kaum India

14 Nov 2025, 10:51 AM
Belanjawan Selangor 2026: RM30 juta tingkat prasarana sekolah, RM2.7 juta perkasa pendidikan kaum India

SHAH ALAM, 14 NOV: Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor untuk membaik pulih infrastruktur dan menyediakan persekitaran kondusif di sekolah diteruskan tahun depan menerusi peruntukan RM30 juta, tertinggi setakat ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi manfaat kepada Sekolah Rendah Agama, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Sekolah Mubaligh.

“Kerajaan Negeri berharap insentif ini berupaya meningkatkan motivasi guru dan pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan dalam pelajaran,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menurut Amirudin, pada 2025, sebanyak 873 sekolah menerima manfaat daripada bantuan ini, tidak termasuk sekolah yang terjejas akibat bencana ribut dan banjir seperti di Sijangkang dan Meru.

Program yang diperkenalkan sejak 2009 itu mendapat maklum balas positif daripada pentadbir sekolah, guru dan pelajar kerana meningkatkan kualiti pendidikan, kesejahteraan warga sekolah dan pembangunan komuniti setempat.

Ia bukan sahaja membina kemudahan fizikal tetapi juga memperkukuh suasana pembelajaran yang kondusif dan berdaya saing.

Selain itu, bagi memastikan kebajikan dan meringankan beban ibu bapa pelajar berketurunan India, khususnya golongan B40, sejumlah RM2.7 juta diperuntukkan untuk program pembangunan pendidikan masyarakat itu tahun depan, meningkat RM515,000 berbanding 2025.

“Agihan itu merangkumi RM1.2 juta untuk Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah bagi pelajar B40 di SJKT dan RM1.5 juta bagi Program Bantuan Yuran Pengajian di IPTA dan IPTS untuk pelajar India daripada golongan B40,” katanya.