SHAH ALAM, 14 NOV: Sejumlah RM15 juta diperuntukkan bagi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS), tahun depan.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata dana tersebut meningkat berbanding RM8 juta pada tahun 2025 bagi memanfaatkan lebih ramai pelajar.
"Demi terus meninggikan mutu pendidikan tinggi buat rakyat Selangor, Kerajaan Negeri bersetuju menaikkan peruntukan kepada RM15 juta pada tahun 2026 menerusi TKWBNS," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, hari ini.
TKWBNS ditubuhkan melalui Enakmen Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor 1949 menyediakan pelbagai kemudahan tajaan pembiayaan pendidikan tinggi kepada pelajar anak Selangor.
Tambah beliau, sejak 1985 sehingga September 2025, program pinjaman dan biasiswa yang ditawarkan memberi manfaat kepada kira-kira 30,305 anak Selangor.
"Komitmen Kerajaan Selangor bagi menjayakan insentif ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM429.8 juta sehingga kini," katanya.
Menurut Amirudin, Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara (PBUDN) juga akan ditambah baik dengan memberi tumpuan kepada pelajar di Universiti Selangor dan Universiti Islam Selangor.
"Sebanyak RM1 juta diperuntuk bagi program BITARA yang dijangka akan ditambah baik daripada modul sebelumnya demi melahirkan pelajar yang serba boleh dan cemerlang," katanya.




