ad

TAWAS: 21,295 anak Selangor terima manfaat RM1,500 tahun depan

15 Nov 2025, 3:00 AM
TAWAS: 21,295 anak Selangor terima manfaat RM1,500 tahun depan

SHAH ALAM, 15 NOV: Seramai 21,295 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) bakal menerima manfaat RM1,500 seorang apabila mencapai usia 18 tahun bermula tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa generasi muda dan memastikan setiap anak Selangor mendapat permulaan kehidupan yang stabil.

“Kerajaan Negeri percaya setiap anak yang lahir di Selangor adalah aset amat bernilai. Kita menyambut kelahiran mereka dengan simpanan permulaan sebagai hadiah daripada Kerajaan Negeri melalui TAWAS.

“Inilah lambang tekad jangka panjang Kerajaan Negeri kepada masa depan anak Selangor demi memperkasa generasi akan datang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

Menurut beliau, TAWAS yang diperkenalkan sejak 2008 mula menunjukkan hasilnya apabila anak-anak yang pernah menerima manfaat Program Bantuan Masuk Sekolah (PBMS) semasa memasuki Tahun Satu akan menerima wang tersebut apabila mencapai umur 18 tahun.

“Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM31.5 juta sebagai pembayaran kepada ahli TAWAS kelahiran tahun 2008,” katanya.

TAWAS diwujudkan sebagai simbol penghargaan dan sokongan jangka panjang kerajaan terhadap rakyat negeri ini, selain menjadi antara inisiatif terawal Selangor bagi memastikan kebajikan anak-anak mendapat perhatian sejak kelahiran hingga dewasa.