SHAH ALAM, 14 NOV: Selangor meneruskan program intervensi literasi dan numerasi bagi murid sekolah rendah yang belum menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) melalui peruntukan RM1 juta, tahun depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut, di bawah Program Didik Kasih (PDK), dimulakan tahun ini melalui kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Perbadanan Perpustakaan Negeri Selangor (PPAS) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor selaku agensi pelaksana.
“Program ini telah memberi manfaat kepada 25,000 pelajar, melibatkan 661 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di seluruh Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Menurut Amirudin, program pembelajaran percuma itu diwujudkan untuk menangani keciciran literasi dan numerasi, terutama dalam kalangan murid darjah satu hingga tiga yang terjejas akibat kekangan akses pembelajaran semasa pandemik Covid-19.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM350,000 bagi meneruskan program Language Discovery@PPAS yang menawarkan kursus bahasa asing secara percuma untuk pelajar sekolah menengah dan rakyat Selangor.
Program kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu disediakan dalam talian dan menawarkan lapan bahasa termasuk Arab, Mandarin, Tamil, Inggeris, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Rusia.
Ia juga selaras dengan usaha memperluas pengetahuan serta memperkukuh modal insan generasi muda.
Tambah Amirudin, Kerajaan Negeri juga memperkukuhkan Program Intervensi Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Selangor melalui peruntukan RM250,000 pada tahun depan bagi merangsang minat murid dalam bidang berkenaan.
“Ia bagi meningkatkan minat dan penguasaan murid dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik menerusi pelbagai aktiviti amali, reka bentuk kejuruteraan dan penyelesaian masalah,” katanya.




