
BANTING, 22 OGOS: Sukan pelayaran menghadiahkan dua pingat emas dan satu perak kepada Kontinjen Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di Pusat Latihan Perahu Layar, Batu Laut, hari ini.
Dua emas tersebut diraih menerusi acara ILCA 7 lelaki dan ILCA 6 wanita, manakala satu lagi pingat perak hadir daripada acara Optimist Individu Wanita.
Lebih menarik, dua pingat emas berkenaan disumbangkan pasangan adik-beradik, Muhammad Zafir Mohd Zailan dan Nur Zafrina Shuhada Mohd Zailan yang masing-masing menguasai acara ILCA 7 lelaki dan ILCA 6 wanita.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan pasangan adik-beradik berkenaan mencipta detik istimewa buat keluarga serta Kontinjen Selangor di pentas SUKMA 2026. Tambah manis, adik bongsu mereka, Muhammad Zafrin juga turut beraksi tetapi tidak berjaya memenangi sebarang pingat.
Sementara itu, Nur Badrina Husna Hamidon menambah satu lagi pingat buat kem pelayaran Selangor selepas meraih perak dalam acara Optimist Individu Wanita.
Badrina menamatkan saingan di belakang pelayar Perak yang meraih pingat emas.
Secara keseluruhan, Selangor mengambil bahagian dalam sembilan acara pelayaran yang dipertandingkan dan menutup saingan dengan kutipan tiga pingat.
Kutipan berkenaan meletakkan Selangor di tempat ketiga keseluruhan bagi sukan pelayaran, di belakang Terengganu yang mengumpul lapan pingat dan Sarawak dengan lima pingat.
Kejayaan tersebut turut menyumbang kepada usaha Kontinjen Selangor untuk terus menambah koleksi pingat dalam saingan SUKMA 2026 yang berlangsung di laman sendiri.







