
PETALING JAYA, 22 OGOS: Ketinggalan 191 pin pada blok pertama tidak mematahkan semangat skuad tenpin boling wanita Selangor apabila bangkit untuk meraih pingat emas acara lima berpasukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, semalam.
Ketua jurulatihnya, Mustafa Yassin berkata, anak buahnya mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya mengurangkan defisit tersebut sehingga aksi berakhir.
Menurut beliau, detik paling mendebarkan hadir pada frame terakhir apabila Adania Mohd Redzwan, perlu melakukan dua strike bagi memastikan pingat emas menjadi milik Selangor.
“Memang untuk blok pertama kita ketinggalan sebanyak 191 pin, kemudian pada blok kedua, mereka memang juang habis-habisan sehingga blok terakhir.
“Pada blok terakhir, Adania memerlukan dua strike untuk menang pingat emas, saya amat terharu dan bangga dengan pencapaian mereka,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Mustafa berkata, kejayaan itu hasil persiapan rapi yang dilakukan sejak kira-kira satu setengah tahun lalu bagi menghadapi temasya berkenaan.
Menurutnya, latihan pusat yang menghimpunkan semua atlet Selangor pula bermula sejak bulan lalu bagi membolehkan mereka menjalani persiapan secara lebih menyeluruh sebagai satu pasukan.
“Untuk persiapan menghadapi SUKMA, kita sudah berlatih selama satu tahun setengah, tetapi latihan pusat bermula bulan lepas apabila semua atlet berkumpul dan kita berlatih bersama-sama,” katanya.
Selangor menamatkan saingan dengan jumlah keseluruhan 3,018 jatuhan pin untuk meraih pingat emas, mengatasi Johor yang membawa pulang perak menerusi catatan 2,968 pin, manakala Sabah memenangi gangsa dengan 2,906 pin.







