SUKMA 2026: Selangor selangkah lagi sapu bersih emas bola sepak, futsal

22 Ogos 2026, 12:35 AM
SUKMA 2026: Selangor selangkah lagi sapu bersih emas bola sepak, futsal
SUKMA 2026: Selangor selangkah lagi sapu bersih emas bola sepak, futsal
SUKMA 2026: Selangor selangkah lagi sapu bersih emas bola sepak, futsal
SUKMA 2026: Selangor selangkah lagi sapu bersih emas bola sepak, futsal

SHAH ALAM, 22 OGOS: Kejayaan skuad futsal lelaki dan wanita Selangor meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 disifatkan sebagai pencetus kebangkitan semula bola sepak negeri untuk kembali mendominasi arena sukan negara.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata, pencapaian itu membuktikan usaha pembangunan sukan yang dilaksanakan di Selangor mula membuahkan hasil apabila atlet muda berjaya menampilkan prestasi cemerlang.

“Tahniah buat pasukan futsal wanita Selangor kerana memenangi emas buat pertama kali dalam SUKMA dan juga kepada skuad futsal lelaki yang berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Sarawak.

“Ini adalah kejayaan yang membanggakan. Ini membuktikan program latihan dan pembangunan atlet yang dijalankan Majlis Sukan Negeri Selangor membuahkan hasil,” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi bergambar bersama skuad futsal wanita Selangor selepas kejayaan merangkul pingat emas pada SUKMA 2026. Foto FIRDAUS JOHARI/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan skuad futsal wanita Selangor merangkul pingat emas buat julung kalinya selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 5-0 pada aksi final di Kompleks Belia dan Sukan Shah Alam, semalam.

Mohd Najwan yang turut menyampaikan pingat emas kepada pemain berharap kejayaan dua skuad futsal itu dapat menjadi pembakar semangat kepada pasukan bola sepak lelaki Selangor yang dijadual beraksi menentang Johor dalam aksi final di Stadium MBPJ, Kelana Jaya hari ini.

Beliau mahu skuad bola sepak lelaki meneruskan momentum cemerlang bagi memburu pingat emas sekali gus melengkapkan penguasaan Selangor dalam acara bola sepak dan futsal.

“Jika kita berjaya menang dalam final kategori bola sepak lelaki, ia sekali gus akan melihat kita menyapu bersih kategori bola sepak dan berharap kejayaan di futsal ini akan menjadi semangat buat pemain lelaki beraksi lebih baik,” katanya.

Sorakan padu penyokong Selangor mengiringi kejayaan skuad futsal wanita merangkul pingat emas pada SUKMA 2026. Foto Facebook MSNS

Daripada empat pingat emas yang dipertandingkan dalam acara bola sepak dan futsal pada SUKMA 2026, Selangor setakat ini sudah menggenggam tiga menerusi futsal lelaki, futsal wanita dan bola sepak wanita.

Selangor kini berpeluang menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang dipertandingkan dalam acara bola sepak dan futsal sekiranya skuad bola sepak lelaki menewaskan Johor pada aksi final hari ini.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.