SUKMA 2026: Nur Ieka, Muhammad Rizq hadiahkan emas pertama memanah buat Selangor

22 Ogos 2026, 2:32 AM
SUKMA 2026: Nur Ieka, Muhammad Rizq hadiahkan emas pertama memanah buat Selangor

KAJANG, 22 OGOS: Kem memanah Selangor akhirnya menghadiahkan pingat emas pertama pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menerusi acara recurve berpasukan campuran di Stadium INSPEN, pagi ini.

Gandingan Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli dan Muhammad Rizq Arif Kharul Nezam tampil cemerlang apabila menewaskan wakil Pulau Pinang, M Khiritigaa dan Ammar Muhaimi Md Shuhaidi dengan skor 6-0 pada aksi final.

Selangor menguasai aksi sejak awal dengan merekodkan markah bidikan 38, 36 dan 37 bagi tiga set pertama untuk memastikan pingat emas menjadi milik kontinjen negeri.

Muhammad Rizq berkata kejayaan itu amat bermakna kerana menghadiahkannya pingat emas sulung pada penampilan kedua di pentas SUKMA.

"Saya rasa sangat gembira, dapat rezeki menang emas untuk pasukan. Sangat terkejut.

"Sejak awal tahun lagi kami sudah berlatih bersama. Jadi, keserasian kami sangat rapat dan kemudian digandingkan bersama untuk SUKMA dan menang," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Nur Ieka menyifatkan kejayaan meraih pingat emas tersebut sebagai hadiah paling bermakna buat kedua-dua ibu bapanya yang hadir memberi sokongan di stadium.

"Sebelum ini mereka dah lama tak dapat hadir untuk bagi sokongan sebab katanya tak nak mengganggu fokus saya, namun kehadiran mereka kali ini sangat saya hargai.

"Ia sama sekali tidak memberi tekanan kepada saya. Sebaliknya, pingat ini adalah hadiah istimewa buat mereka," katanya.

Dalam pada itu, pengurus pasukan memanah Selangor, G Thyagarajan berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan pasukan meskipun tidak mencapai sasaran dua pingat emas.

"Keseluruhan, kita menyumbang satu emas, dua perak dan tiga gangsa bagi acara memanah. Jadi, kita sangat-sangat bersyukur, walaupun kita tak dapat capai sasaran dua emas tapi kita bersyukur dapat menyumbang satu pingat emas untuk Selangor.

"Saya berpuas hatilah dengan pencapaian atlet kita hanya mungkin kita tiada rezeki dan hari ini kami juga sangat beruntung dengan keberangkatan tiba Tuanku membawa rezeki menang emas buat kem Selangor," ujarnya.

Beliau berkata, pencapaian itu lebih baik berbanding edisi di Sarawak apabila kontinjen memanah Selangor hanya membawa pulang enam pingat perak.

Turut berangkat menyaksikan aksi final ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang kemudian berkenan menyampaikan pingat kepada para pemenang.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.