Rangkuman SUKMA 2026: Selangor semakin bersedia, kemenangan mula dituai

12 Ogos 2026, 2:51 PM
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor semakin bersedia, kemenangan mula dituai
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor semakin bersedia, kemenangan mula dituai
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor semakin bersedia, kemenangan mula dituai
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor semakin bersedia, kemenangan mula dituai

SHAH ALAM, 12 OGOS: Tinggal tiga hari sebelum Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 membuka tirainya secara rasmi, Selangor bukan sahaja semakin hampir melengkapkan persiapan sebagai tuan rumah, malah sudah menunjukkan petanda positif menerusi aksi awal beberapa acara yang dipertandingkan.

Daripada kemudahan sukan bertaraf tinggi, majlis pembukaan yang sarat dengan identiti Selangor hingga prestasi atlet yang mula mencuri perhatian, perkembangan terkini menggambarkan persiapan negeri ini memasuki fasa kemuncak.

Lebih menarik, sebahagian atlet Selangor sudah mula mengutip kemenangan dan mara ke peringkat seterusnya, sekali gus menyemarakkan harapan untuk mencapai sasaran 80 pingat emas.
Majlis pembukaan angkat tema ‘Di Sinilah Lahirnya Juara’

Persiapan kini turut tertumpu kepada Majlis Perasmian SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 yang bakal berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 15 Ogos.

Majlis berkenaan menandakan kepulangan temasya sukan kebangsaan itu ke Selangor selepas 28 tahun, dengan tema ‘Di Sinilah Lahirnya Juara’.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama sukarelawan ketika Himpunan Mega Sukarelawan SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor di Litar Sepang pada 9 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerajui penganjuran majlis yang menggabungkan elemen seni, budaya, muzik, teknologi dan penceritaan visual. Antara pengisian utama termasuk perarakan kontinjen, persembahan kreatif, larian terakhir obor SUKMA dan penyalaan kawah, selain penglibatan sektor korporat dalam menjayakan acara berkenaan.

Akuatik Selangor tampil dengan wajah baharu

Antara kemudahan yang menjadi tumpuan ialah Akuatik Selangor di Seksyen 13, Shah Alam yang menjalani naik taraf bernilai kira-kira RM42 juta. Kemudahan itu kini dilengkapi sistem lebih moden termasuk kamera dalam kolam, sensor yang dipertingkat serta sistem masa yang lebih berkesan, selain penambahbaikan kemudahan untuk pengguna orang kurang upaya (OKU).

Lebih daripada memenuhi keperluan SUKMA, peningkatan itu membuka peluang kepada Akuatik Selangor untuk terus dimanfaatkan selepas temasya, termasuk sebagai pusat latihan dan lokasi penganjuran kejohanan bertaraf tinggi.

Pemandangan keseluruhan kolam renang di Pusat Akuatik yang kini siap dinaik taraf dan bersedia menerima atlet serta pegawai temasya SUKMA di Pusat Akuatik, Shah Alam pada 14 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Sedia tarik kejohanan renang antarabangsa

Naik taraf Akuatik Selangor turut membuka prospek lebih besar apabila pusat berkenaan dilihat berpotensi menarik penganjuran kejohanan renang antarabangsa selepas SUKMA. Kemudahan yang ditambah baik itu disesuaikan dengan keperluan pertandingan berprofil tinggi, sekali gus meningkatkan kapasiti Selangor sebagai lokasi penganjuran acara sukan.

Perkembangan itu memberi nilai tambah kepada pelaburan naik taraf kemudahan berkenaan kerana manfaatnya dijangka berterusan selepas temasya berakhir, termasuk kepada atlet, komuniti dan industri sukan negeri.

SUKMA dijangka lonjak ekonomi Klang

Selain aspek sukan, penganjuran SUKMA turut dijangka membawa limpahan ekonomi kepada kawasan yang menjadi lokasi pertandingan. Klang misalnya menjadi tuan rumah tujuh acara, termasuk bola keranjang, boling padang, hoki lelaki, ragbi, muaythai, kriket lelaki dan pingpong.

Kehadiran atlet, pegawai, keluarga dan penyokong dari seluruh negara dijangka memberi manfaat kepada hotel, penginapan, restoran serta peniaga tempatan. Pada masa sama, temasya itu memberi peluang kepada Klang memperkenalkan tarikan pelancongan, sejarah dan makanan tempatan kepada pengunjung.

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) membuka permohonan tapak jualan kepada usahawan sempena temasya SUKMA 2026 di beberapa lokasi pertandingan sekitar Klang. Gambar janaan AI

3x3 Selangor mara bergaya ke suku akhir

Di gelanggang, skuad bola keranjang 3x3 Selangor antara pasukan yang paling menyerlah setakat ini apabila lelaki dan wanita masing-masing mengesahkan tempat ke suku akhir. Skuad wanita mengekalkan rekod sempurna dengan tiga kemenangan ke atas Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak, manakala skuad lelaki menewaskan Kedah dan Wilayah Persekutuan.

Kedua-dua pasukan kini berada di landasan terbaik untuk mempertahankan dua emas yang dimenangi pada SUKMA 2024 di Sarawak. Jika berjaya melepasi aksi suku akhir, Selangor berpeluang menghadiahkan dua pingat emas pertama buat kontinjen tuan rumah seawal Khamis, sekali gus memberi suntikan besar kepada misi keseluruhan kontinjen.

Polo air lelaki buka kempen dengan kemenangan besar

Skuad polo air lelaki Selangor turut membuka kempen dengan langkah kanan apabila membelasah Pulau Pinang 23-13 dalam aksi Kumpulan B di Akuatik Selangor. Ketua pasukan Brandon Wong menjadi watak utama apabila meledak 11 gol untuk membantu tuan rumah menguasai permainan sejak suku pertama.

Kemenangan itu bukan sahaja memberikan tiga mata penting, malah meningkatkan keyakinan pasukan yang sudah menjalani persiapan sejak sekian lama. Selangor dijadual berdepan Wilayah Persekutuan dalam aksi seterusnya Kumpulan B pada Khamis.

Aksi sengit pemain Selangor menentang Pulau Pinang dalam acara polo air sempena SUKMA 2026 di Pusat Akuatik Selangor pada 12 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Kriket menang besar

Dalam acara kriket pula, Selangor memulakan kempen dengan kemenangan besar, menambah satu lagi perkembangan positif buat kontinjen tuan rumah pada hari-hari awal pertandingan. Keputusan itu menyuntik keyakinan kepada skuad Selangor untuk meneruskan cabaran dalam saingan seterusnya.

Kejayaan tersebut melengkapkan gambaran awal bahawa atlet tuan rumah tidak sekadar menunggu temasya dirasmikan, sebaliknya sudah mula menunjukkan prestasi kompetitif di gelanggang masing-masing.

Skuad kriket lelaki Selangor beraksi menentang Perlis pada saingan SUKMA Selangor 2026 di Kompleks Kriket Bayu Emas, Klang, pada 12 Ogos 2026. Foto YUSNI ARIFFIN/MEDIA SELANGOR

SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos dengan Selangor menyasarkan 80 pingat emas. Namun, beberapa acara telah memulakan saingan lebih awal, menjadikan hari-hari sebelum majlis pembukaan rasmi turut penting dalam pembentukan momentum kontinjen tuan rumah.

Dengan persiapan penganjuran semakin lengkap dan atlet pula mula menunjukkan prestasi positif, perhatian kini beralih kepada sejauh mana momentum awal itu dapat diteruskan sepanjang temasya.

Bagi Selangor, kejayaan bukan hanya diukur melalui kelancaran menjadi tuan rumah, tetapi juga kemampuan atlet menjadikan gelanggang sendiri sebagai medan untuk melahirkan juara.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.