
KLANG, 12 OGOS: Pasukan kriket lelaki Selangor membuka kempen Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 penuh bergaya apabila menewaskan Perlis dengan kelebihan 287 larian dalam aksi pembukaan di Kompleks Kriket Bayu Emas, di sini hari ini.
Selangor menguasai permainan menerusi persembahan mantap dalam aspek batting, bowling dan fielding apabila mencatat 321 larian, manakala Perlis hanya mampu mengumpul 34 larian.
Jurulatih Selangor, Roshan Senna Singh berkata beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, terutama dari segi konsistensi sepanjang perlawanan.
“Saya gembira dengan prestasi batting kita. Paling saya gembira ialah cara kita bermain yang sangat stabil.
“Kita tidak beri banyak peluang kepada pasukan Perlis dan berjaya mendapatkan skor 321. Kita bermain secara profesional dan tidak mengambil ringan perlawanan ini. Itu yang saya mahu daripada pemain,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Kejayaan Selangor turut dipacu aksi cemerlang Nagineswaren yang muncul pemain penting selepas menghasilkan lima wicket menerusi bowling, sekali gus membantu mengekang Perlis daripada mengejar jumlah larian ditetapkan.
Bagi Nagineswaren, penampilan sulung di pentas SUKMA itu menjadi kenangan manis selepas berjaya memainkan peranan dalam kemenangan pasukan.
“Saya sangat gembira. Ini kali pertama saya menyertai SUKMA dan saya dapat buktikan bahawa saya boleh bermain dengan baik serta mengambil lima wicket dalam perlawanan hari ini.
“Harapan saya untuk terus bermain dengan baik dalam setiap perlawanan dan membantu Selangor mendapatkan pingat emas pada SUKMA kali ini,” katanya.

Kemenangan besar itu menjadi permulaan positif buat Selangor dalam misi memburu pingat emas kriket lelaki pada SUKMA Selangor, sekali gus menyuntik keyakinan menghadapi aksi seterusnya.







