
SHAH ALAM, 12 OGOS: Selepas hampir tiga dekad beroperasi, Pusat Akuatik Selangor kini tampil dengan wajah dan keupayaan baharu apabila bukan sahaja diperkasa dengan teknologi lebih canggih, malah turut dilengkapi kemudahan yang lebih inklusif untuk pengguna.
Antaranya, dua unit lif khas kerusi roda dipasang bagi memudahkan akses golongan orang kurang upaya (OKU), manakala beberapa laluan di sekitar pusat berkenaan turut diubah suai supaya lebih mesra pengguna kerusi roda.
Pengurus Akuatik Selangor Ahmad Sayuti Bashiron berkata kemudahan tandas khas OKU turut disediakan sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan pusat berkenaan lebih selesa dan mudah diakses semua golongan.

“Kita letakkan dua unit lif khas untuk mereka yang menggunakan kerusi roda dan beberapa laluan juga telah diubah suai supaya lebih mesra kerusi roda serta OKU,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.
Menurutnya, penambahbaikan itu tidak hanya memberi tumpuan kepada atlet atau penganjuran pertandingan, sebaliknya turut mengambil kira pengalaman pengguna dan penonton.
“Penambahbaikan bukan hanya untuk atlet tetapi juga untuk pengguna dan penonton yang datang ke pusat ini,” katanya.

Beliau berkata beberapa kemudahan sedia ada termasuk tandas, bilik persalinan dan bilik media turut dinaik taraf selepas kurang diselenggara sepanjang hampir 28 tahun pusat berkenaan beroperasi.
Selain itu, kawasan kolam kanak-kanak turut dirancang untuk dilengkapi kemudahan permainan bagi memberikan pengalaman lebih selesa kepada keluarga yang berkunjung.
Pusat Akuatik Selangor, nama baharu bagi Pusat Akuatik Darul Ehsan, menjalani projek naik taraf menyeluruh bernilai kira-kira RM42 juta yang bermula pada Oktober tahun lalu dan disiapkan sepenuhnya pada Jun.

Kerja naik taraf turut mengambil kira keperluan dan piawaian badan renang antarabangsa bagi membolehkan pusat berkenaan menjadi lokasi latihan serta penganjuran kejohanan bertaraf tinggi.
Kemudahan itu kini dilengkapi teknologi baharu termasuk kamera dalam kolam, sistem sensor yang dipertingkatkan serta sistem masa yang lebih berkesan bagi menyokong latihan dan penganjuran pertandingan.
Malah, teknologi yang digunakan kini menjadikan Akuatik Selangor lebih maju berbanding Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil dari beberapa aspek, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara kemudahan akuatik utama negara.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan projek berkenaan bukan sekadar untuk menyediakan kemudahan bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026, sebaliknya memastikan pusat berkenaan terus relevan sebagai kemudahan latihan, pertandingan dan rekreasi selepas temasya itu berakhir.
Pusat yang dibuka pada 1997 itu turut mempunyai nilai sejarah tersendiri apabila menjadi antara venue SUKMA 1998, iaitu kejohanan besar pertama yang diadakan di situ.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi sebelum ini berkata Akuatik Selangor akan terus berfungsi sebagai pusat latihan dan pembangunan atlet dalam sukan renang serta sukan akuatik, selain dibuka kepada orang ramai dengan pelbagai kemudahan sokongan.
Antara kemudahan yang tersedia termasuk premis makanan dan minuman, gimnasium, kemudahan latihan renang serta pusat selam skuba.









