
SHAH ALAM, 12 Ogos: Penganjuran tujuh acara Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Klang membawa limpahan ekonomi melalui kehadiran atlet, pegawai, keluarga dan penyokong sepanjang temasya itu.
Datuk Bandar Klang Dato’ Abdul Hamid Hussain memberitahu penganjuran temasya dwitahunan itu dijangka meningkatkan permintaan terhadap sektor penginapan di sekitar bandar raya tersebut.
Beliau berkata hotel bertaraf lima hingga tiga bintang selain penginapan rumah inap dijangka menerima tempahan tinggi manakala peniaga tempatan berpeluang menjana lebih pendapatan.

"Penganjuran tujuh acara di Klang akan menarik ratusan atlet bersama keluarga, pegawai pasukan dan penyokong yang sekali gus memberi impak kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan," katanya.
Tujuh acara tersebut ialah:
• Bola keranjang (Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi 2)
• Boling padang (Kompleks Boling Padang Bayuemas)
• Hoki kategori lelaki (Stadium Hoki Pandamaran).
• Ragbi (Padang Sultan Suleiman)
• Muaythai (KSL Esplanade Mall)
• Kriket kategori lelaki (Bayuemas Oval)
• Pingpong (Dewan MBDK Bukit Raja)
Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas perasmian padang dan penaiktarafan kemudahan stadium hoki selenggaaran Majlis Bandar raya Diraja Klang (MBDK), baru-baru ini.

MBDK memperuntuk hampir RM9 juta bagi menaik taraf kemudahan sukan dua lokasi utama menjelang SUKMA 2026 iaitu Stadium Hoki Pandamaran dan Stadium Hoki Padang Sultan Suleiman.
Abd Hamid berkata kehadiran orang ramai ke temasya sukan tersebut dijangka mengubah tanggapan mereka terhadap Klang apabila berpeluang meneroka sendiri keunikan bandar diraja itu.
Beliau percaya pengalaman yang diperoleh pengunjung sepanjang berada di Klang akan mendorong mereka kembali ke bandar raya berkenaan pada masa depan.
Katanya, kehadiran pengunjung dari seluruh negara menjadi wadah terbaik untuk memperkenal Klang sebagai destinasi yang menyimpan pelbagai daya tarikan sejarah, budaya dan makanan.
SUKMA ke-22 mempertanding sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan meliputi sembilan daerah, membabitkan 52 venue di seluruh negeri sepanjang temasya antara 15 hingga 24 Ogos.
Para SUKMA pula diadakan dari 5 hingga 14 September melibatkan 369 acara daripada 10 jenis sukan antaranya renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang dan memanah.
Majlis pembukaan dijadual berlangsung Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Selain 15 kontinjen negeri, Brunei Darussalam turut menyertai SUKMA sebagai kontinjen jemputan.
SUKMA kali ini adalah temasya sukan terbesar negara kedua terakhir sebelum Kelantan pada 2028. Selangor yang menjadi tuan rumah menetapkan sasaran 80 pingat emas pada kali ini.







