
KLANG, 12 OGOS: Selangor berada di landasan terbaik untuk mempertahankan dua pingat emas bola keranjang 3x3 apabila skuad lelaki dan wanita masing-masing mengesahkan tempat ke suku akhir dengan rekod cemerlang.
Kejayaan itu membuka peluang buat Selangor mengulangi pencapaian pada SUKMA 2024 di Sarawak apabila kedua-dua pasukan berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara masing-masing.
Bagaimanapun, kedua-dua skuad tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian di peringkat kumpulan, sebaliknya kekal fokus menghadapi saingan suku akhir yang bakal menentukan perjalanan mereka dalam misi memburu pingat.
Beraksi di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Tinggi di sini, skuad wanita menampilkan aksi konsisten apabila melakar tiga kemenangan dalam Kumpulan C dengan menewaskan Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak.
Skuad lelaki pula turut tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir selepas mengenepikan cabaran Kedah dan Wilayah Persekutuan dalam saingan Kumpulan A.
Aksi kedua-dua pasukan turut mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah yang memeriahkan gelanggang menerusi sorakan dan persembahan pasukan sorak.

Ketua pasukan lelaki, Yap Zen Ha mengakui kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan bukan mudah, namun kejayaan itu meningkatkan keyakinan pasukannya untuk memburu emas di laman sendiri.
“Dua perlawanan yang cukup sukar tetapi kami berjaya memenanginya dan pada saya ini adalah kesempatan terbaik buat kami untuk memenangi pingat emas di hadapan penyokong sendiri.
“Kehadiran pasukan sorak sangat membakar semangat kami kerana ini pertama kali kami melihat perkara seperti ini terjadi dalam sukan bola keranjang,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, kapten skuad wanita, Yap Yi Xin turut enggan terlalu yakin biarpun pasukannya berjaya melakar kemenangan dalam semua perlawanan peringkat kumpulan.
Menurutnya, fokus kini terarah kepada aksi suku akhir dengan sasaran memberikan persembahan terbaik demi menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Selangor.
“Kami gembira dengan keputusan ini dan seperti juga skuad lelaki, kami mahu berikan yang terbaik kepada para penyokong dengan menyumbang pingat emas,” katanya.

Selangor kini berpeluang menghadiahkan dua pingat emas pertama buat kontinjen tuan rumah pada Khamis, dua hari sebelum upacara pembukaan rasmi SUKMA 2026 pada Sabtu.
Sekiranya sasaran itu berjaya direalisasikan, kejayaan berkenaan pastinya menjadi suntikan semangat buat kontinjen Selangor dalam misi memburu kejuaraan keseluruhan temasya.







