
SHAH ALAM, 12 OGOS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerajui penganjuran Majlis Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026 yang bakal berlangsung di Dataran Kemerdekaan, di sini pada 15 Ogos.
Majlis berkenaan bakal menandakan kepulangan temasya sukan kebangsaan itu ke Selangor selepas 28 tahun, selain menjadi wadah meraikan semangat kesukanan, perpaduan dan kecemerlangan atlet muda Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Dato' Saipolyazan M Yusop berkata kepercayaan diberikan kepada MBI untuk menerajui majlis perasmian itu merupakan satu penghormatan besar kepada Selangor sebagai tuan rumah SUKMA selepas hampir tiga dekad.

"MBI berbesar hati diberikan kepercayaan untuk menerajui Majlis Perasmian yang meraikan kecemerlangan, semangat dan pengorbanan para atlet.
“Melalui kerjasama pelbagai pihak, kami berharap penganjuran ini bukan sahaja menjadi pengalaman yang membanggakan buat seluruh rakyat Malaysia, malah meninggalkan legasi yang berkekalan kepada pembangunan sukan, belia dan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bertemakan “Di Sinilah Lahirnya Juara”, majlis perasmian itu bukan sekadar simbol pembukaan temasya, sebaliknya mengetengahkan perjalanan seorang juara yang bermula daripada impian, pengorbanan dan disiplin sebelum mencapai kejayaan.
Persembahan yang disusun turut menggabungkan elemen seni, budaya, muzik, teknologi dan penceritaan visual bagi mengangkat semangat kesukanan serta kebanggaan rakyat Malaysia.

Antara acara yang bakal menjadi tumpuan ialah perarakan kontinjen negeri, upacara rasmi pembukaan, persembahan kreatif, larian terakhir obor SUKMA dan upacara penyalaan kawah SUKMA.
Keseluruhan pengisian berkenaan dirangka bagi mencerminkan imej Selangor sebagai negeri progresif selain mengetengahkan semangat kecemerlangan dalam kalangan atlet muda.
Penganjuran majlis perasmian itu turut menyaksikan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta menerusi penglibatan sektor korporat dalam pembangunan sukan dan belia.
MBI tampil sebagai penganjur dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor selaku Rakan Penaja Utama.
Turut menyokong sebagai Rakan Penaja Platinum termasuklah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd, Worldwide Holdings Berhad, KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM), Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (Aquasel) dan Bisabi Sdn. Bhd.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Telekom Malaysia Berhad dan Maxis Broadband Sdn. Bhd. tampil sebagai Rakan Teknologi menerusi sumbangan secara barangan atau perkhidmatan (in-kind).

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan berkenaan yang turut menampilkan pelbagai aktiviti, termasuk jualan makanan dan minuman kendera saji.
Seramai 500 pengunjung terawal berpeluang mendapatkan kupon bernilai RM10 untuk pembelian di kendera saji.










