
SHAH ALAM, 10 OGOS: Pusat Akuatik Selangor berpotensi menjadi lokasi penganjuran kejohanan renang bertaraf antarabangsa selepas beberapa isu berkaitan lesen dan kelulusan badan antarabangsa diselesaikan.
Pengurus Akuatik, Ahmad Sayuti Bashiron berkata pusat berkenaan sebelum ini berdepan kekangan untuk menganjurkan beberapa program dan kejohanan antarabangsa disebabkan isu berkenaan.
“Isu tersebut sudah diselesaikan dan pusat akuatik sepatutnya boleh menjadi lokasi penganjuran acara bertaraf antarabangsa,” katanya ditemu bual Media Selangor.

Menurutnya, kemudahan yang dinaik taraf kini telah disesuaikan dengan keperluan serta piawaian badan renang antarabangsa dan Olimpik.
Beliau berkata Pusat Akuatik Selangor juga mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk menyokong penganjuran kejohanan bertaraf tinggi termasuk kolam berukuran 50 meter serta sistem papan skor berketepatan milisaat.
“Kita juga ada kamera bawah air untuk rakaman dan rakaman ulang semula yang menepati keperluan pertandingan bertaraf Olimpik,” katanya.
Menurut Ahmad Sayuti, sekiranya Selangor menjadi tuan rumah bagi Islamic Solidarity Games pada masa akan datang, Pusat Akuatik Selangor berpotensi menjadi antara lokasi utama bagi acara sukan akuatik.
Beliau berkata penganjuran acara antarabangsa mampu memberi nilai kepada pusat berkenaan selain mengangkat Selangor sebagai destinasi sukan.
Dalam masa sama, pusat berkenaan akan dibuka kepada orang awam mulai 1 Oktober dengan sistem kemasukan baharu secara digital.
Pengunjung boleh membuat pembelian tiket melalui laman web atau aplikasi dengan memilih tarikh, masa, kolam dan sesi renang berdasarkan kekosongan.
Sistem baharu itu turut menggunakan konsep tanpa tunai dengan pembayaran melalui kad, perbankan dalam talian atau e-dompet.
Ahmad Sayuti berkata penambahbaikan tersebut diharap menjadikan Pusat Akuatik Selangor bukan sahaja sebagai venue pertandingan SUKMA, malah kemudahan sukan yang terus memberi manfaat kepada masyarakat dan berpotensi menarik penganjuran kejohanan antarabangsa.










