Rangkuman SUKMA 2026: Selangor unggul carta pingat, akuatik lubuk emas

21 Ogos 2026, 2:30 PM
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor unggul carta pingat, akuatik lubuk emas

SHAH ALAM, 21 OGOS: Berbaki tiga hari SUKMA 2026, Selangor mengutip 60 emas, 51 perak dan 43 gangsa setakat 10.30 malam ini. Prestasi cemerlang itu mengukuhkan kedudukan tuan rumah menerajui carta kutipan pingat. Terengganu di kedudukan kedua dengan 34 emas, 32 perak dan 27 gangsa diikuti Wilayah Persekutuan 31 emas, 32 perak dan 30 gangsa.

Pusat Akuatik Selangor terus menjadi lubuk pingat tuan rumah. Setakat malam ini, 24 pingat dikutip dari sukan akuatik. Penerjun tuan rumah Muhammad Haris Mohd Rezal menutup penampilan terakhirnya pada temasya SUKMA untuk meraih emas acara 1 meter (m) papan anjal. Atlet berusia 21 tahun itu mengejutkan dua penerjun kebangsaan yang mewakili Wilayah Persekutuan, iaitu Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie.

Emas turut dirangkul menerusi acara papan anjal 1m, 200m kuak kupu-kupu lelaki dan wanita, 800m gaya bebas wanita serta 4x100m gaya bebas wanita. Perenang wanita Selangor, Shannon Tan Yan-Qing terus mencipta sensasi apabila memecahkan rekod SUKMA 200m kuak kupu-kupu. Perenang berusia 16 tahun itu turut membantu Selangor memperbaharui rekod SUKMA 4x100m gaya bebas.

Muhammad Haris sumbang emas dalam penampilan terakhir SUKMA

Penerjun Selangor, Muhammad Haris Mohd Rezal melengkapkan koleksi tiga pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas muncul juara acara 1 meter (m) papan anjal lelaki di Akuatik Selangor, hari ini.

Muhammad Haris mengumpul 353.80 mata menerusi enam terjunan untuk mengatasi penerjun Wilayah Persekutuan, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim yang mencatat 347.70 mata bagi pingat perak.

Penerjun Selangor, Muhammad Haris Mohd Rezal muncul juara acara 1m papan anjal lelaki pada SUKMA 2026 di Akuatik Selangor. Foto NAJAMUDDIN MOHD NOR/MEDIA SELANGOR

Rekod baharu SUKMA 200 meter kuak kupu-kupu wanita, 4x100 meter gaya bebas wanita

Perenang wanita Selangor, Shannon Tan Yan-Qing terus terus mencipta sensasi apabila meraih dua pingat emas selain memecahkan dua rekod SUKMA hari ini.

Shannon terlebih dahulu muncul juara acara 200 meter kuak kupu-kupu wanita dengan catatan 2 minit 15.13 saat, sekali gus memecahkan rekod SUKMA 2:15.77 yang diciptanya sendiri pada peringkat saringan pagi tadi.

Perenang berusia 16 tahun itu kemudian membantu kuartet Selangor menjuarai acara 4x100 meter gaya bebas wanita dengan catatan 3 minit 54.54 saat, turut memadamkan rekod kejohanan 3:54.84 saat.

Perenang wanita Selangor, Shannon Tan Yan-Qing muncul juara acara 200 meter kuak kupu-kupu wanita dengan catatan 2 minit 15.13 saat.

Goh Li Hen raih emas kuak kupu-kupu

Pusat Akuatik Selangor terus menjadi saksi perenang Selangor menambah pingat emas pada hari ini.

Kali ini emas diraih menarusi Goh Li Hen dalam acara 200 meter kuak kupu-kupu lelaki. Selangor turut memperolehi gangsa menerusi Goh Li Jie

Goh Li Hen dalam acara 200 meter kuak kupu-kupu lelaki.

Yuan Yi raih emas, Hermann tambah gangsa renang Selangor

Kontinjen Selangor terus menuai pingat dalam acara renang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila meraih satu pingat emas dan gangsa menerusi acara 800 meter gaya bebas wanita.

Emas acara tersebut disumbangkan Chong Yuan Yi.

Sementara itu, Hermann Tang Bok Yu menyumbang pingat gangsa dalam acara 1,500 meter gaya bebas lelaki.

Perenang Selangor Chong Yuan Yi (tengah) merangkul pingat emas SUKMA 2026 acara gaya bebas wanita 800m

Gimnastik: Cadence Teh rangkul emas berganda, pertahan gelaran all-around individu

Gimnas Selangor Cadence Teh Zi Qi meraih emas berganda pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas mempertahankan kejuaraan acara all-around individu wanita selain membantu tuan rumah merangkul emas berpasukan, hari ini.

Cadence berjaya mengekalkan kejuaraan acara all-round individu dengan mengumpul 48.550 mata menerusi 12.050 mata dalam acara melombol, 11.400 mata palang bertingkat, 13.350 mata batang titian dan 11.750 mata senaman lantai.

Terdahulu, Cadence bergandingan dengan Nicole Wong Ziyi, Airisha Zuraidi, Wong Zi Qi, Leong Yee Shean dan Haifa Izzazi Mohd Faizul untuk membantu Selangor merangkul emas berpasukan wanita dengan 169.300 mata.

Selangor merangkul emas acara berpasukan wanita gimnastik. Foto Majlis Sukan Negeri Selangor

Selangor tepati ramalan rangkul emas skuasy berpasukan lelaki

Skuad Selangor menepati ramalan apabila berjaya merangkul pingat emas acara skuasy berpasukan lelaki selepas menewaskan Kedah 2-0 pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Kompleks Sukan Astaka MBPJ, hari ini.

Selangor membuka tirai kemenangan menerusi G Keshvan yang mengatasi pemain Kedah, Sim Yeak Wei dengan keputusan 3-1 pada perlawanan pertama.

Selangor menepati ramalan apabila berjaya merangkul pingat emas acara skuasy berpasukan lelaki selepas menewaskan Kedah 2-0 pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Kompleks Sukan Astaka MBPJ. Foto MBPJ

Selangor rangkul emas boling lima berpasukan wanita

Selangor meraih pingat emas SUKMA dalam acara tenpin boling lima berpasukan wanita hari ini.

Pasukan Selangor muncul juara selepas mengumpul keseluruhan 3,018 jatuhan pin dalam aksi di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid.

Selangor meraih pingat emas SUKMA dalam acara tenpin boling lima berpasukan wanita. Foto NADHIRAH FATTAH / MEDIA SELANGOR

Berbasikal BMX: Selangor raih empat pingat

Selangor mendominasi acara berbasikal BMX apabila memungut empat pingat bagi kategori park lelaki dan wanita di Arena Skatepark MBPJ, Petaling Jaya.

Pasangan adik-beradik Nia Nur Aidryana Mohd Nor Aszeril dan Nur Airen Sofea Mohd Nor Aszeril terlebih dahulu menggegar podium apabila mengungguli saingan park wanita dengan masing-masing menggondol pingat emas dan perak.

Pada acara BMX park lelaki pula, Muhammad Khaidir Idzham Abdul Haqq meraih pingat emas apabila mengutip 92.33 mata dan Ziyad Razzidin Mohd Zainurdin dengan 91.55 mata untuk berada di tempat kedua.

Selangor mendominasi acara berbasikal BMX apabila memungut empat pingat bagi kategori park lelaki dan wanita di Arena Skatepark MBPJ, Petaling Jaya, pada 21 Ogos 2026. Foto SHAMZ JOHAN/MEDIA SELANGOR

Futsal wanita Selangor juara SUKMA 2026

Selangor menewaskan Wilayah Persekutuan 5-0 dalam aksi final untuk kembali bergelar juara futsal wanita SUKMA selepas kali terakhir merangkul kejuaraan itu 15 tahun lalu.

Kejayaan tersebut turut melengkapkan dominasi Selangor dalam acara futsal selepas skuad lelaki terlebih dahulu meraih emas menerusi kemenangan dalam aksi final di venue sama pada Khamis.

Pasukan futsal wanita Selangor juara SUKMA 2026

Boling lima berpasukan lelaki raih gangsa

Selangor meraih pingat gangsa dalam acara tenpin boling lima berpasukan lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas mengumpul 5,890 jatuhan pin di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, hari ini.

Pingat emas menjadi milik Sarawak selepas menjatuhkan 6,092 pin, manakala Johor meraih pingat perak dengan 5,917 pin.

Selangor meraih pingat gangsa dalam acara tenpin boling lima berpasukan lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Haretashni raih gangsa, sumbang pingat pertama karate

Atlet karate Selangor N Haretashni bangkit daripada kekecewaan di separuh akhir untuk meraih pingat gangsa acara Kumite Individu Wanita 50 kilogram (kg) Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, hari ini.

Beraksi di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Haretashni tempat di podium selepas menewaskan lawannya 3-0 dalam aksi penentuan gangsa.

Haretashni yang pada awalnya menyasarkan emas mengakui sedikit kecewa selepas tewas kepada lawan sukar pada peringkat separuh akhir.

Atlet karate Selangor, N Haretashni (kanan) ketika beraksi dalam acara Kumite Individu Wanita 50kg pada SUKMA Selangor 2026 di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC). Foto FIRDAUS JOHARI/MEDIA SELANGOR

Yu Zhe hadiah pingat pertama wushu Selangor

Sukan wushu menghadiahkan pingat pertama buat Kontinjen Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila atlet muda, Tan Yu Zhe meraih gangsa dalam disiplin Nandao + Nangun, di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) hari ini.

Beraksi pada penampilan sulung di pentas SUKMA, Yu Zhe, 15, mempamerkan aksi konsisten dalam kedua-dua disiplin untuk mengumpul 9.545 mata secara keseluruhan.

Atlet berkenaan merekodkan 9.523 mata dalam disiplin Nangun dan 9.566 mata menerusi Nandao, sekali gus mengatasi wakil Sarawak yang menduduki tempat keempat.

Sukan wushu menghadiahkan pingat pertama buat Kontinjen Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila atlet muda, Tan Yu Zhe

Gandingan Haris-Ikmal raih gangsa terjun 3 meter

Muhammad Haris Mohd Rezal dan Ikmal Abror Ibrahim berjaya menambah pingat gangsa buat kontinjen Selangor pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, hari ini.

Bergandingan dalam acara terjun 3 meter papan anjal, Haris dan Ikmal mempamerkan aksi baik menerusi enam terjunan, namun ia belum cukup untuk mencabar pasangan Sarawak yang meraih emas, manakala Wilayah Persekutuan membawa pulang perak.

Dalam aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Selangor, gandingan Selangor itu mengumpul 307.89 mata selepas enam terjunan, ketinggalan 26.01 mata di belakang pemenang pingat emas.

papan anjal 3 meter

Pengalaman berharga beraksi di pentas SUKMA dalam usia 15 tahun

Penyertaan sulung di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menjadi pengalaman berharga buat atlet wushu Selangor, Teh Shuen Ru untuk terus mematangkan diri sebagai atlet muda.

Beraksi pada usia 15 tahun dalam disiplin Taijijian, Shuen Ru menamatkan saingan di tempat ke-16 daripada 19 peserta dengan catatan 9.066 mata di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Shah Alam.

Penyertaan sulung di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menjadi pengalaman berharga buat atlet wushu Selangor, Teh Shuen Ru

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.