
SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor melabuhkan tirai penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026 dengan kejayaan berganda selepas muncul juara keseluruhan kedua-dua temasya berkenaan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, obor SUKMA seterusnya bakal beralih kepada Kelantan Darul Naim yang akan menjadi tuan rumah SUKMA ke-23 pada 2028.
Beliau yakin saingan pada edisi akan datang lebih sengit, selain berharap tempoh dua tahun yang ada dimanfaatkan atlet untuk terus mempertingkat prestasi masing-masing.
“Pada malam ini, medan perjuangan Para SUKMA di Selangor akan berakhir. Obor dan bendera kejohanan akan beralih tangan kepada tuan rumah SUKMA ke-23 iaitu Kelantan Darul Naim pada 2028.
“Dalam tempoh dua tahun lagi, saya percaya persaingan lebih hebat di Kelantan kelak,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Para SUKMA 2026 di Selangor International Trade Centre (SITEC), di sini malam ini.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta EXCO Belia dan Sukan, Mohd Najwan Halimi.
Amirudin turut berharap kejayaan demi kejayaan terus dilakar atlet para negara sehingga mampu membanggakan ibu bapa, ahli keluarga, masyarakat, negeri dan negara.
Beliau berkata, sukan bukan sekadar medan persaingan untuk merebut kemenangan, sebaliknya platform yang mampu menyatukan masyarakat.
Pada masa sama, Amirudin menzahirkan penghargaan kepada kesemua 14 kontinjen negeri yang mengambil bahagian dalam Para SUKMA Selangor 2026.
“Selangor tetap berbangga dengan semua pencapaian kontinjen yang bertanding. Kalah menang adat pertandingan dan selepas 28 tahun sejak kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah pada 1998, saya melihat tahap saingannya sudah pun jauh berbeza.
“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemenang. Kepada atlet istimewa yang belum mencapai kemenangan, percayalah usaha dan pengorbanan anda tetap disanjung semua. Teruskan usaha memburu kejayaan,” katanya.
Terdahulu, Selangor mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan Para SUKMA 2026 dengan kutipan 200 pingat, sekali gus melengkapkan kejayaan berganda selepas menjuarai SUKMA 2026, bulan lalu.
Kontinjen Para SUKMA Selangor mengumpulkan 93 pingat emas, 55 perak dan 52 gangsa untuk muncul juara keseluruhan.









