11 pingat emas bukti lonjakan para catur Selangor, catat prestasi cemerlang

30 Sep 2026, 4:00 AM
11 pingat emas bukti lonjakan para catur Selangor, catat prestasi cemerlang
11 pingat emas bukti lonjakan para catur Selangor, catat prestasi cemerlang
11 pingat emas bukti lonjakan para catur Selangor, catat prestasi cemerlang

SHAH ALAM, 30 SEPT: Pencapaian 11 pingat emas daripada 24 acara pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menjadi lonjakan besar buat kontinjen para catur negeri itu, berbanding hanya dua emas yang diraih pada edisi SUKMA Sarawak sebelum ini.

Ketua Jurulatih Para Catur Kontinjen Selangor, Nik Ahmad Farouqi Nik Abdul Aziz berkata pencapaian itu membuktikan peningkatan prestasi atlet selepas menjalani persediaan rapi dan memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang temasya.

“Kalau dibandingkan dengan SUKMA Sarawak yang lalu, kita hanya mendapat dua pingat emas. Tetapi di SUKMA Selangor kali ini, kita berjaya memperoleh 11 emas daripada 24 acara yang dipertandingkan.

“Ini satu rekod yang sangat baik dan menunjukkan peningkatan besar dalam kalangan atlet kita, sekali gus menjadikan para catur antara sukan yang mencatatkan peratusan kutipan pingat tertinggi bagi kontinjen Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Apresiasi dan Penghargaan Kontinjen Para Catur Selangor di Restoran Samat Thai, di sini, semalam.

Menurut Nik Ahmad Farouqi, kejayaan itu hasil dedikasi atlet yang memberikan komitmen penuh dalam latihan serta pertandingan walaupun berdepan kekurangan dan cabaran sebagai atlet orang kurang upaya (OKU).

Katanya, keadaan tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mereka mengejar pencapaian dalam sukan, sebaliknya perlu dijadikan pembakar semangat dengan membuktikan bahawa kekurangan yang ada bukan batasan untuk mereka bersaing.

Nik Ahmad Farouqi menambah, kontinjen para catur Selangor kini akan memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi SUKMA Kelantan 2028 dengan sasaran mengekalkan prestasi serta membuktikan kemampuan mereka di luar gelanggang sendiri.

Dalam pada itu, atlet para catur Selangor, S. Keerthana berkata sokongan dan penghargaan yang diterima daripada pelbagai pihak memberikan motivasi kepadanya untuk terus meningkatkan prestasi.

Beliau berkata kejayaan meraih empat pingat emas pada penyertaan sulung dalam temasya berkenaan menjadi pengalaman yang amat bermakna, sekali gus menyuntik keyakinan untuk menghadapi kejohanan seterusnya.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Penghargaan seperti ini memberi semangat kepada kami untuk terus berusaha dan melakukan yang terbaik.

“Ini kali pertama saya menyertai temasya dan saya tidak menyangka dapat mencipta kejayaan dengan memperoleh empat pingat emas. Pencapaian ini sangat bermakna buat saya dan menjadi pengalaman paling manis dalam hidup,” katanya.

Keerthana berharap kontinjen para catur Selangor dapat meneruskan pencapaian berkenaan dalam edisi SUKMA akan datang serta mengekalkan semangat kerjasama dalam kalangan atlet.

Sementara itu, atlet para catur Selangor, Leong Yao Wen berkata atlet yang belum memperoleh pingat tidak seharusnya berputus asa, sebaliknya perlu terus berlatih bagi memperbaiki prestasi.

“Bagi mereka yang belum memperoleh pingat, jangan putus asa dan teruskan latihan. Masih ada peluang untuk kita mencipta kejayaan. Yang penting, kita perlu terus berusaha dan memperbaiki kelemahan untuk mengejar impian.

“Saya juga berharap lebih ramai atlet OKU dapat menceburi bidang sukan dan mencipta kejayaan masing-masing kerana bidang ini beri peluang untuk mengembangkan bakat dan membina keyakinan diri,” katanya.

Kontinjen para catur Selangor mencatatkan prestasi membanggakan pada Para SUKMA Selangor 2026 dengan meraih 11 pingat emas daripada 24 acara yang dipertandingkan sepanjang temasya dari 5 hingga 14 September lalu.

Antara emas disumbangkan menerusi kategori Standard Wanita P1, Standard Wanita P1 Berpasukan, Standard Lelaki B1, Standard Lelaki P1 Berpasukan serta B1 Berpasukan.

Pencapaian itu turut menyumbang kepada kejayaan Selangor mengekalkan gelaran juara keseluruhan Para SUKMA 2026 selepas mengumpul 93 pingat emas, 55 perak dan 52 gangsa.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.