
SHAH ALAM, 21 OGOS: Sukan wushu menghadiahkan pingat pertama buat Kontinjen Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila atlet muda, Tan Yu Zhe meraih gangsa dalam disiplin Nandao + Nangun, di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) hari ini.
Beraksi pada penampilan sulung di pentas SUKMA, Yu Zhe, 15, mempamerkan aksi konsisten dalam kedua-dua disiplin untuk mengumpul 9.545 mata secara keseluruhan.
Atlet berkenaan merekodkan 9.523 mata dalam disiplin Nangun dan 9.566 mata menerusi Nandao, sekali gus mengatasi wakil Sarawak yang menduduki tempat keempat.
Pingat emas menjadi milik atlet Pulau Pinang, manakala perak diraih wakil Perak.
Yu Zhe menyifatkan kejayaan tersebut sebagai sesuatu yang cukup bermakna selepas tidak menyangka mampu menaiki podium dalam penampilan pertamanya pada temasya berkenaan.
“Saya gembira dengan kejayaan ini dan terima kasih buat jurulatih dan kontinjen Selangor yang banyak membantu saya memenangi pingat gangsa ini,” katanya kepada Media Selangor.
Kejayaan atlet muda itu turut disambut meriah rakan-rakan sepasukan yang meraikan Yu Zhe sejurus selesai upacara penyampaian pingat.
Suasana berkenaan jelas memperlihatkan semangat setiakawan dan keharmonian dalam kalangan atlet kem wushu Selangor yang terus memberikan sokongan antara satu sama lain.
Pingat gangsa yang diraih Yu Zhe turut membuka tirai kutipan pingat skuad wushu Selangor pada SUKMA 2026, sekali gus menyuntik motivasi kepada atlet lain untuk meneruskan cabaran dalam acara masing-masing.








