SUKMA 2026: Haretashni raih gangsa, sumbang pingat pertama karate

21 Ogos 2026, 6:18 AM
SUKMA 2026: Haretashni raih gangsa, sumbang pingat pertama karate

SHAH ALAM, 21 OGOS: Atlet karate Selangor N Haretashni bangkit daripada kekecewaan di separuh akhir untuk meraih pingat gangsa acara Kumite Individu Wanita 50 kilogram (kg) Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, hari ini.

Beraksi di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Haretashni tempat di podium selepas menewaskan lawannya 3-0 dalam aksi penentuan gangsa.

Haretashni yang pada awalnya menyasarkan emas mengakui sedikit kecewa selepas tewas kepada lawan sukar pada peringkat separuh akhir.

“Sasaran utama saya adalah emas tetapi saya menghadapi lawan yang cukup sukar di separuh akhir tetapi saya bangkit di perlawanan penentuan gangsa dan berjaya menyumbangkan pingat buat Selangor,” katanya kepada Media Selangor.

Atlet karate Selangor, N Haretashni (kanan) ketika beraksi dalam acara Kumite Individu Wanita 50kg pada SUKMA Selangor 2026 di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC). Foto FIRDAUS JOHARI/MEDIA SELANGOR

Pingat gangsa itu menjadi pingat pertama skuad karate Selangor pada hari pertama acara tersebut dipertandingkan di SUKMA 2026.

Temasya kali ini juga merupakan penampilan terakhir Haretashni di pentas SUKMA, namun perjuangannya masih belum berakhir apabila beliau dijadual turun dalam acara Kumite Berpasukan pada Ahad ini.

Dalam pada itu, Haretashni turut merakamkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan atas sokongan diberikan sepanjang persiapannya menghadapi temasya.

Skuad karate Selangor berharap dapat meneruskan momentum positif dan memburu pingat emas dalam acara berpasukan bagi menambah koleksi pingat kontinjen negeri.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.