SUKMA 2026 medan Shuen Ru timba pengalaman, matangkan aksi

21 Ogos 2026, 4:56 AM
SUKMA 2026 medan Shuen Ru timba pengalaman, matangkan aksi

SHAH ALAM, 21 OGOS: Penyertaan sulung di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menjadi pengalaman berharga buat atlet wushu Selangor, Teh Shuen Ru untuk terus mematangkan diri sebagai atlet muda.

Beraksi pada usia 15 tahun dalam disiplin Taijijian, Shuen Ru menamatkan saingan di tempat ke-16 daripada 19 peserta dengan catatan 9.066 mata di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Shah Alam.

Meskipun tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok terbaik, Shuen Ru melihat penyertaan tersebut sebagai peluang terbaik untuk menimba pengalaman dan memperbaiki prestasi pada kejohanan akan datang.

Menurutnya, beraksi bersama atlet terbaik negara pada pentas SUKMA turut memberi motivasi untuk meningkatkan tahap persembahannya.

“Beraksi buat kali pertama, saya sedikit gementar dan berharap dapat menimba lebih banyak pengalaman di kejohanan peringkat tinggi seperti ini.

“Saya berasa bangga dapat bersaing dengan atlet-atlet wushu yang terbaik kerana ia akan membantu saya meningkatkan tahap aksi kepada yang lebih tinggi,” katanya kepada Media Selangor.

Shuen Ru turut mendapat bimbingan legenda wushu negara, Sydney Chin Sy Xuan yang menyifatkan penampilan anak buahnya sebagai satu permulaan positif dalam perjalanan kariernya.

Sydney berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan Shuen Ru yang berjaya menerapkan teknik taichi pada tahap lebih tinggi.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana dia menggunakan teknik taichi yang lebih tinggi.

“Rasa gementar menyebabkan dia melakukan sedikit kesilapan pada beberapa gerakan tetapi dia tetap membanggakan saya,” katanya.

Shuen Ru dijadualkan meneruskan cabaran dalam disiplin Taijiquan pada Ahad dan berharap dapat memperbaiki persembahan serta memberikan sumbangan lebih baik buat dirinya dan Kontinjen Selangor.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.