SUKMA 2026: Selangor tepati ramalan rangkul emas skuasy berpasukan lelaki

21 Ogos 2026, 6:33 AM
SUKMA 2026: Selangor tepati ramalan rangkul emas skuasy berpasukan lelaki
SUKMA 2026: Selangor tepati ramalan rangkul emas skuasy berpasukan lelaki
SUKMA 2026: Selangor tepati ramalan rangkul emas skuasy berpasukan lelaki
SUKMA 2026: Selangor tepati ramalan rangkul emas skuasy berpasukan lelaki

PETALING JAYA, 21 OGOS: Skuad Selangor menepati ramalan apabila berjaya merangkul pingat emas acara skuasy berpasukan lelaki selepas menewaskan Kedah 2-0 pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Kompleks Sukan Astaka MBPJ, hari ini.

Selangor membuka tirai kemenangan menerusi G Keshvan yang mengatasi pemain Kedah, Sim Yeak Wei dengan keputusan 3-1 pada perlawanan pertama.

Perseorangan kedua Selangor, Nickhileswar Moganasundharam kemudian menampilkan penguasaan apabila menumpaskan pemain Kedah, Aqil Mirza Naim Khairil 3-1 (9-11, 11-9, 11-2, 11-3), sekali gus mengesahkan kemenangan mutlak buat Selangor.

Bagi Nickhileswar, kejayaan tersebut amat bermakna kerana ia merupakan pingat emas pertamanya di pentas SUKMA, lantas mengubati kekecewaannya selepas sekadar meraih pingat perak dalam acara individu sebelum ini.

"Saya berasa sangat lega dan gembira. Pertama sekali, saya menghadiahkan kejayaan kepada rakan sepasukan. Kejayaan meraih emas tidak akan menjadi kenyataan jika bukan kerana sokongan mereka.

"Kami saling membantu, memberi sokongan dan menang untuk satu sama lain seperti adik-beradik. Itulah yang menjadikan kami sebuah pasukan yang kuat," katanya kepada pemberita.

Beliau juga sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan kejurulatihan dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dalam kariernya.

Untuk rekod, Nickhileswar sebelum ini mencipta sejarah selepas menjadi pemain Malaysia pertama menjuarai Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Amerika Syarikat (US Junior Open) di Philadelphia, tahun lalu.

Sementara itu, jurulatih Selangor S Deena Darshan menyifatkan kemenangan ini amat manis selepas berhempas pulas berlatih hampir setahun lebih, akhirnya mereka berjaya melakar kemenangan di laman sendiri.

"Saya rasa kali terakhir Selangor memenangi emas acara berpasukan adalah 10 atau 15 tahun lalu dan dapat menang di laman sendiri kali ini, ia amat istimewa.

"Walaupun pasukan kami turun sebagai pilihan utama, skuad kami unik kerana dibarisi majoriti pemain remaja berusia bawah 18 tahun berbanding negeri lain yang meletakkan pemain senior atau profesional. Malah, separuh daripada barisan pemain ini masih layak beraksi untuk Selangor pada SUKMA akan datang," katanya.

Terdahulu, Pulau Pinang menundukkan Wilayah Persekutuan 2-1 untuk meraih pingat gangsa bagi acara sama.

Sementara itu, bagi acara berpasukan wanita pula, Melaka meraih pingat emas selepas menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan 2-1, manakala Wilayah Persekutuan menduduki tempat ketiga selepas mengatasi Kedah.

Skuad skuasy Selangor mencatatkan kutipan satu emas dan satu perak pada SUKMA kali ini menerusi acara perseorangan lelaki dan berpasukan lelaki.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.