Rangkuman SUKMA 2026: Selangor buka langkah kanan, buru 80 emas

11 Ogos 2026, 4:00 PM
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor buka langkah kanan, buru 80 emas
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor buka langkah kanan, buru 80 emas
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor buka langkah kanan, buru 80 emas
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor buka langkah kanan, buru 80 emas
Rangkuman SUKMA 2026: Selangor buka langkah kanan, buru 80 emas

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor tidak menunggu lama untuk menghantar isyarat sebagai pencabar utama apabila memulakan kempen Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan rentak positif menerusi kemenangan awal beberapa acara, disokong kesiapsiagaan venue dan keyakinan beberapa pasukan memburu pingat emas.

Permulaan memberangsangkan itu memberi petanda awal bahawa kontinjen tuan rumah berada di landasan tepat untuk merealisasikan sasaran 80 pingat emas, selain mengukuhkan reputasi Selangor sebagai penganjur temasya terbesar negara.

Saingan awal yang bermula hari ini melibatkan acara bola tampar pantai, kriket serta bola sepak lelaki dan wanita, sekali gus menandakan bermulanya temasya sukan dwitahunan itu sebelum majlis pembukaan rasmi pada 15 Ogos

1. Persiapan penganjuran di landasan terbaik

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata sebahagian besar persiapan penganjuran telah diselesaikan, termasuk pengesahan pendaftaran atlet oleh pegawai teknikal bagi memastikan kelancaran pertandingan.

Beliau berkata edisi kali ini menghimpunkan lebih 9,200 atlet daripada 14 kontinjen termasuk Brunei yang akan bersaing dalam 469 acara daripada 37 jenis sukan di 52 venue pertandingan di seluruh Selangor. Orang ramai turut dijemput hadir memberikan sokongan kerana kemasukan ke semua venue pertandingan adalah percuma.

Aksi sengit pemain bola tampar wanita Selangor, Goh Yu Heng dan Rachael Goh Yu Jie ketika menentang pasukan Johor di Gelanggang Bola Tampar Pantai MBSA, Shah Alam pada 11 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

2. Gandingan Goh beri tonik awal Selangor

Gandingan adik-beradik Rachael Goh Yu Jie dan Goh Yu Heng memulakan misi memburu emas buat Selangor dengan langkah kanan apabila mudah menundukkan Johor B 21-7, 21-5 dalam aksi bola tampar pantai wanita.

Kemenangan di Gelanggang Bola Tampar MBSA itu menyaksikan pasangan Selangor A yang juga pemain kebangsaan memulakan saingan peringkat awal dengan meyakinkan.

Gandingan Selangor A itu dijadual melengkapkan saingan Kumpulan B menentang Perlis A pada Rabu (12 Ogos).

Kemenangan dalam perlawanan berkenaan akan mengesahkan tempat mereka ke separuh akhir, sekali gus meneruskan misi memburu pingat emas buat kontinjen Selangor.

Pemain bola tampar wanita Selangor, Goh Yu Heng dan Rachael Goh Yu Jie bergambar selepas tamat perlawanan menentang Johor di Gelanggang Bola Tampar Pantai MBSA, Shah Alam pada 11 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

3. Kabaddi yakin sumbang dua emas

Skuad kabaddi Selangor turut melaungkan keyakinan untuk menghadiahkan dua pingat emas selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang tahun ini. Pengurus pasukan, V Ravichandran berkata kedua-dua skuad lelaki dan wanita menunjukkan peningkatan berbanding SUKMA Sarawak 2024.

Beliau berkata kejayaan muncul juara dalam beberapa kejohanan terbuka sebelum ini menjadi pemangkin kepada sasaran membantu Selangor muncul juara keseluruhan di laman sendiri.

Atlet kabaddi Sukma Selangor ketika sesi latihan di SJK(T) Simpang Lima, Klang pada 13 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

4. Pejabat kesihatan daerah pantau venue SUKMA

Pejabat kesihatan daerah (PKD) giat menjalankan pemantauan di setiap venue pertandingan sepanjang penganjuran SUKMA 2026 bagi memastikan pematuhan aspek kesihatan awam.

Antara fokus utama pemantauan ialah penguatkuasaan zon larangan merokok serta pemeriksaan kualiti dan keselamatan makanan yang disediakan kepada atlet, pegawai, sukarelawan dan pengunjung.

Pemantauan dilaksanakan sepanjang temasya yang berlangsung dari 11 hingga 24 Ogos ini bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bangunan Pusat Akuatik yang telah siap dibina sebagai antara venue bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Pusat Akuatik, Shah Alam pada 14 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

5. 150 sukarelawan mula bertugas

Kira-kira 150 sukarelawan memulakan tugasan bagi memastikan kelancaran acara awal SUKMA 2026 yang membuka tirai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sukarelawan SUKMA 2026, Syamsul Tahrin Mohd Tahir berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan para sukarelawan.

Syamsul Tahrin, yang juga Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, berkata sukarelawan menjadi antara tulang belakang penganjuran SUKMA 2026.

Pasukan sorak kontinjen Selangor menyemarakkan suasana ketika aksi bola tampar pantai pada hari pertama acara awal Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Gelanggang Bola Tampar Pantai MBSA, Shah Alam pada 11 Ogos 2026. Kira-kira 150 sukarelawan turut bertugas membantu kelancaran penganjuran temasya.Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

6. Akuatik Selangor dilengkapi teknologi canggih

Akuatik Selangor kini dilengkapi teknologi penapisan air 'regenerative filtering' antara paling canggih di negara ini bagi penganjuran SUKMA 2026.

Pusat yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE) itu melalui proses naik taraf melibatkan teknologi serta kemudahan sokongan bagi memenuhi keperluan penganjuran temasya.

Pengurus Akuatik Selangor, Ahmad Sayuti Bashiron berkata teknologi penapisan berkenaan beroperasi secara automatik serta mampu menjimatkan penggunaan elektrik dan air.

Antara fasiliti yang disediakan di Pusat Akuatik untuk kegunaan atlet renang menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

7. Selangor sasar emas polo air

Selangor menyasarkan pingat emas dalam acara polo air lelaki dan wanita pada temasya SUKMA 2026, selepas sukan itu kali terakhir dipertandingkan pada SUKMA Kuala Lumpur pada 2013.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin, yang berharap skuad polo air Selangor mampu mengatasi cabaran pasukan negeri lain sekali gus menyumbang emas kepada kontinjen negeri.

Atlet polo air menjalani sesi latihan sebagai persiapan menghadapi saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Akuatik Selangor, Shah Alam pada 10 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Kontinjen Selangor meneruskan cabaran hari kedua acara awal SUKMA 2026 dengan tumpuan terarah kepada tiga sukan membabitkan polo air, kriket dan bola keranjang 3x3, esok.

Skuad polo air lelaki akan membuka kempen menentang Pulau Pinang di Akuatik Selangor dari jam 1.30 hingga 3 petang, manakala pasukan kriket lelaki dijadual berdepan Perlis di Bayuemas Oval pada jam 9.30 pagi.

Sementara itu, pasukan bola keranjang 3x3 wanita Selangor akan menentang Negeri Sembilan di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi, Klang pada jam 10.20 pagi.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.