SUKMA 2026: Akuatik Selangor dilengkapi teknologi canggih, mampu tampung 3,760 penonton

11 Ogos 2026, 9:00 AM
SUKMA 2026: Akuatik Selangor dilengkapi teknologi canggih, mampu tampung 3,760 penonton
SUKMA 2026: Akuatik Selangor dilengkapi teknologi canggih, mampu tampung 3,760 penonton
SUKMA 2026: Akuatik Selangor dilengkapi teknologi canggih, mampu tampung 3,760 penonton
SUKMA 2026: Akuatik Selangor dilengkapi teknologi canggih, mampu tampung 3,760 penonton

SHAH ALAM, 11 OGOS: Akuatik Selangor kini dilengkapi teknologi penapisan air 'regenerative filtering' antara paling canggih di negara ini bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Pusat yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE) itu melalui proses naik taraf melibatkan teknologi serta kemudahan sokongan bagi memenuhi keperluan penganjuran temasya.

Pengurus Akuatik Selangor, Ahmad Sayuti Bashiron berkata teknologi penapisan berkenaan beroperasi secara automatik serta mampu menjimatkan penggunaan elektrik dan air.

Menurutnya, operasi sistem itu juga boleh dipantau menerusi telefon, sekali gus memudahkan pihak pengurusan mengawasi keadaan kolam.

Pengurus Akuatik Selangor Ahmad Sayuti Bashiron ketika ditemui Media Selangor semasa tinjauan persiapan akhir Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Akuatik Selangor, Shah Alam pada 10 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

“Sistem kita ini adalah yang paling canggih di Malaysia dan tidak semua negara menggunakan teknologi tersebut.

“Ia juga menimbulkan keterujaan atlet untuk berenang di sini,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Selain teknologi penapisan, Ahmad Sayuti berkata Akuatik Selangor turut dilengkapi sistem pemasaan baharu yang mampu merekod keputusan pertandingan dengan ketepatan sehingga milisaat.

“Sistem masa ini antara yang canggih dan ketepatannya sangat penting untuk pertandingan bertaraf tinggi,” katanya.

Menurut beliau, kemudahan kamera bawah air turut disediakan bagi merakam aksi pertandingan untuk tujuan tayangan semula, dengan peralatan berkenaan memenuhi keperluan penganjuran kejohanan bertaraf Olimpik.

Sistem pemasaan digital antara teknologi yang disediakan di Akuatik Selangor bagi memastikan ketepatan masa pertandingan sepanjang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

"Ukuran kolam utama turut diperiksa semula bagi memastikan jaraknya tepat 50 meter, manakala saiz kolam memenuhi keperluan pertandingan bertaraf Olimpik," katanya.

Dari segi kapasiti, Akuatik Selangor mampu menampung sehingga 3,760 penonton pada satu-satu masa sepanjang penganjuran kejohanan.

Kerja naik taraf yang bermula pada Oktober tahun lalu dan siap sepenuhnya pada Jun lepas turut meliputi sistem kolam dan pam, tempat duduk, pencahayaan, tandas, bilik media serta kemudahan sokongan.

Venue itu bakal memulakan saingan acara akuatik SUKMA dan ParaSUKMA dengan pertandingan polo air pada 12 Ogos, sebelum pembukaan rasminya pada 15 Ogos.

Kemudahan dan teknologi yang tersedia turut membuka potensi Akuatik Selangor untuk menjadi lokasi penganjuran kejohanan antarabangsa selepas SUKMA 2026.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.