
SHAH ALAM, 11 OGOS: Kira-kira 150 sukarelawan memulakan tugasan bagi memastikan kelancaran acara awal Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang membuka tirai hari ini.
Tinjauan Media Selangor di Gelanggang Bola Tampar Pantai MBSA mendapati perjalanan pertandingan berlangsung lancar dengan pengurusan sukarelawan serta operasi venue terkawal.
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sukarelawan SUKMA 2026, Syamsul Tahrin Mohd Tahir berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan para sukarelawan pada hari pertama, termasuk pasukan sorak kontinjen Selangor yang berjaya menyemarakkan suasana pertandingan.
Menurutnya, pemantauan akan diteruskan di semua venue bagi memastikan setiap sukarelawan melaksanakan tanggungjawab mengikut peranan masing-masing sepanjang temasya.
“Hampir 150 orang sukarelawan sudah memulakan tugasan mereka hari ini. Kita dapat lihat keadaan yang sungguh meriah dengan kehadiran pasukan sorak kita dan kita akan terus memantau semua sukarelawan di venue-venue yang lain.
“Kita harapkan sukarelawan kita terus bersemangat untuk memberikan jasa dan sumbangan di tempat-tempat yang lain kerana mereka ini sangat penting untuk menjayakan satu-satu kejohanan,” katanya kepada Media Selangor.
Syamsul Tahrin, yang juga Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, berkata sukarelawan menjadi antara tulang belakang penganjuran SUKMA 2026 menerusi peranan membantu kelancaran operasi, memberi khidmat kepada atlet, pegawai serta orang awam, selain memastikan aspek keselamatan dan kebajikan pengunjung sentiasa terpelihara.
Beliau yakin komitmen yang ditunjukkan sukarelawan akan membantu memastikan setiap venue pertandingan beroperasi dengan lancar, sekali gus memberikan pengalaman terbaik kepada atlet, pegawai dan penyokong sepanjang SUKMA 2026.








