Pejabat kesihatan daerah pantau venue SUKMA, pastikan peraturan dipatuhi

11 Ogos 2026, 7:04 AM
Pejabat kesihatan daerah pantau venue SUKMA, pastikan peraturan dipatuhi

SHAH ALAM, 11 OGOS: Pejabat kesihatan daerah (PKD) giat menjalankan pemantauan di setiap venue pertandingan sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 bagi memastikan pematuhan aspek kesihatan awam.

Antara fokus utama pemantauan ialah penguatkuasaan zon larangan merokok serta pemeriksaan kualiti dan keselamatan makanan yang disediakan kepada atlet, pegawai, sukarelawan dan pengunjung.

Pemantauan dilaksanakan sepanjang temasya yang berlangsung dari 11 hingga 24 Ogos ini bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tinjauan Media Selangor di Gelanggang Bola Tampar Pantai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, mendapati beberapa penguat kuasa kesihatan menjalankan pemeriksaan selain memberikan taklimat ringkas kepada urus setia pertandingan.

Wakil penguat kuasa yang ditemui berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), selain memastikan aspek keselamatan makanan di venue pertandingan memenuhi piawaian ditetapkan.

“Kami menguatkuasakan Akta 852, khususnya berkaitan zon larangan merokok. Semua kawasan venue tidak membenarkan sesiapa pun merokok.

“Pada masa sama, terdapat satu pasukan yang memantau kualiti makanan. Jika makanan disediakan oleh pihak penganjur, kami akan mengambil sampel bagi memastikan makanan bersih dan tidak tercemar,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun RM250 boleh dikenakan terhadap individu yang didapati melanggar peruntukan Akta 852.

Katanya, sampel makanan yang diambil turut disimpan untuk tujuan pemantauan dan rujukan sekiranya berlaku sebarang kejadian berkaitan keselamatan makanan.

“Langkah ini penting bagi memastikan kebajikan dan keselamatan atlet serta pegawai sepanjang temasya berlangsung, selain mencegah kejadian keracunan makanan,” katanya.

Akta 852 mengawal produk merokok termasuk rokok konvensional dan rokok elektronik atau vape, selain memperuntukkan kawalan terhadap penjualan, pengiklanan, promosi dan penggunaan produk berkenaan.

Akta itu diwartakan pada 2 Februari 2024 dan mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024.

Pemantauan PKD di venue SUKMA 2026 penting bagi memastikan aspek kesihatan awam diberi keutamaan, sekali gus membantu menjamin keselamatan dan kelancaran penganjuran temasya sukan terbesar negara itu.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.