SHAH ALAM, 28 OGOS: Selangor dan Jerman meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkukuh pembangunan kemahiran serta tenaga kerja.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Jerman ke Malaysia, Silke Riecken-Daerr, selain peluang mempererat kerjasama dalam bidang semikonduktor dan reka bentuk litar bersepadu (IC).
“Kami membincangkan kestabilan politik Malaysia yang semakin baik serta keyakinan yang dibawa kepada sektor perniagaan dan pelabur, di samping peluang mempererat kerjasama dalam bidang semikonduktor dan reka bentuk litar bersepadu (IC).
“Perbincangan turut menyentuh pengurusan sisa, teknologi sisa kepada tenaga dan penjanaan kuasa, ketika Malaysia giat meneroka sumber tenaga alternatif bagi memenuhi keperluan negara,” katanya di Facebook.
Menurutnya, Silke Riecken-Daerr turut menyambut baik penyambungan semula penerbangan terus Lufthansa antara Kuala Lumpur dan Frankfurt selepas hampir sedekad, sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam bidang perniagaan, pelancongan dan perdagangan.
“Saya turut mengetengahkan rangkaian pelabuhan, kemudahan kargo udara dan gudang yang saling berhubung di Selangor, dengan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal memperkukuh lagi hubungan antara pelabuhan serta memudahkan pergerakan barangan.
“Saya juga menyampaikan penghargaan kepada Hannover Messe atas kerjasama berterusan dalam Selangor Techsphere Summit yang kini memasuki tahun kedua. Kerjasama ini menghubungkan industri dan bakat tempatan dengan kepakaran antarabangsa serta teknologi baharu,” katanya.
Tambahnya, perbincangan turut meliputi pembangunan bola sepak selain Silke Riecken-Daerr memuji Malaysia atas penganjuran Grand Prix Formula 1 Bahrain di Sepang.
“Saya menantikan kunjungan pengenalan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Jerman ke Selangor pada 24 November ini, yang akan memberi peluang kepada delegasi berkenaan untuk melihat dengan lebih dekat kekuatan perindustrian negeri serta peluang memperluas pelaburan dan kerjasama,” katanya.








