MB: Selepas FRIM, Selangor mahu lebih banyak pengiktirafan UNESCO

28 Okt 2026, 1:42 AM
MB: Selepas FRIM, Selangor mahu lebih banyak pengiktirafan UNESCO
MB: Selepas FRIM, Selangor mahu lebih banyak pengiktirafan UNESCO

AMPANG JAYA, 28 OKT: Kerajaan Negeri menyasarkan lebih banyak kawasan warisan alam bernilai tinggi di Selangor mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada UNESCO, menyusuli kejayaan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata di sebalik kepesatan pembangunan negeri, khazanah alam Selangor perlu terus dipelihara dan dimanfaatkan secara mampan demi kesejahteraan rakyat.

“Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Taman Hutan Selangor (FRIM FPS) telah mendapat pengiktirafan UNESCO dan kita berharap selepas ini Biosfera yang kita bangunkan di Sabak Bernam diiktiraf satu masa nanti.

“Masih banyak kerja yang perlu kita lakukan di sana supaya kriteria-kriteria penarafan geopark dan warisan dunia boleh dipenuhi dari semasa ke semasa.

“Yang penting dalam penarafan UNESCO adalah keistimewaan atau keunikan yang ada di satu-satu lokaliti. Jadi keunikan di sini adalah seperti Permatang Kuartza yang bukan sahaja di dunia panjangnya tetapi keunikan, kualiti yang bernilai tinggi,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Sesi Penilaian Semula Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark 2026 yang turut dihadiri EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim, di sini malam tadi.

Penilaian semula GHL Geopark berlangsung dari 26 hingga 30 Oktober sebagai proses berkala setiap empat tahun bagi menentukan kelayakannya mengekalkan status Geopark Kebangsaan yang diperoleh pada 2022.

Malaysia kini mempunyai enam Tapak Warisan Dunia UNESCO, merangkumi empat tapak warisan budaya dan dua tapak warisan semula jadi, termasuk FRIM-FPS.

FRIM-FPS secara rasmi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 11 Julai 2025, sempena Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-47 di Paris, Perancis.

Tapak berkenaan merupakan kawasan pemulihan hutan tropika yang dibangunkan di bekas kawasan perlombongan bijih timah dan menjadi contoh penting usaha pemulihan ekosistem hutan secara besar-besaran.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.