Taman reka bentuk IC Selangor berkembang ke sistem autonomi, UAV

17 Sep 2026, 3:00 AM
Taman reka bentuk IC Selangor berkembang ke sistem autonomi, UAV
Taman reka bentuk IC Selangor berkembang ke sistem autonomi, UAV

SHAH ALAM, 17 SEPT: Dua taman reka bentuk litar bersepadu (IC) di Selangor berjaya menarik 20 rakan industri sejak kemudahan pertama dibuka di Puchong pada Ogos 2024, dengan negeri ini kini bersedia memperluas ekosistem berkenaan kepada sistem autonomi dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), Yong Kai Ping berkata IC Design Park 1 di Puchong dan IC Design Park 2 di Cyberjaya yang dilancarkan pada November 2025 menghimpunkan syarikat semikonduktor tempatan serta pemain industri dari Taiwan, Jepun, Perancis dan Australia.

“Pada masa depan, fasa pertumbuhan seterusnya akan memberi penekanan kepada sistem autonomi dan UAV sebagai bidang pengkhususan utama Selangor.

“Kami sedang menggerakkan usaha ini menerusi konsep ‘Robotic Campus’ yang menghubungkan IC Design Park 1 di Puchong, IC Design Park 2 di Cyberjaya dan MRANTI Park,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perancangan untuk melancarkan sebuah taman reka bentuk IC setiap tahun dalam tempoh lima tahun.

Pada 2024, Yong berkata Kerajaan Negeri merancang melancarkan sebuah taman setiap tahun sehingga 2028, susulan kejayaan taman pertama di Puchong.

Menurutnya, SIDEC menyasarkan untuk memperkukuh industri semikonduktor, khususnya dalam bidang reka bentuk IC, dengan menarik dan mengekalkan bakat bagi memenuhi keperluan kritikal industri di peringkat global.

Mengulas mengenai kenderaan autonomi, beliau berkata SIDEC bekerjasama dengan rakan industri dalam sektor pengangkutan penumpang, kargo dan robotaksi.

Kerjasama itu turut melibatkan pengendali bas serta van autonomi, selain Grab dalam pembangunan robotaksi.

Yong berkata pengembangan taman reka bentuk IC dilaksanakan secara berperingkat, dengan setiap taman terlebih dahulu diperkukuh menerusi rakan industri dan pembangunan bakat sebelum diperluas.

Sehingga kini, program Advanced Semiconductor Engineering and Manufacturing (ASEM) telah melatih 850 jurutera, dengan kesemuanya memperoleh latihan sambil bekerja dan jawatan tetap.

Taman berkenaan turut menjalin kerjasama utama dengan syarikat teknologi global termasuk ARM yang menyediakan akses kepada syarikat penyewa terhadap Compute Subsystems (CSS) dan token Arm Flexible Access (AFA).

“Pendekatan kami dibuat secara terancang. Setiap taman perlu mempunyai asas yang kukuh terlebih dahulu sebelum diperluas,” katanya.

Bagi sektor UAV pula, Yong berkata syarikat seperti AlphaSwift dan Meraque sedang membangunkan dron untuk kegunaan pertanian, manakala TCab Tech membangunkan platform pesawat berlepas dan mendarat menegak elektrik (eVTOL) bagi sektor pelancongan dan tindak balas kecemasan.

“Apabila rangkaian taman ini terus berkembang, sistem autonomi dan UAV akan menjadi antara bidang teras yang membezakan ekosistem semikonduktor dan kejuruteraan termaju Selangor,” katanya.

Menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2), Selangor menyasarkan untuk menjadi hab industri termaju dan inovasi menjelang 2030 dengan meningkatkan automasi, memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta memperluas aktiviti ekonomi bernilai tinggi.

Pelan itu turut menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada import, selain memperkukuh syarikat tempatan dan menyokong pertumbuhan gaji yang mampan.

Antara inisiatif di bawah misi kepimpinan ekonomi negeri ialah pembangunan pusat semikonduktor bertaraf antarabangsa, penubuhan Selangor Semiconductor Fund untuk melabur dalam syarikat semikonduktor serta pembangunan IC Design Park Fasa 2 di Cyberjaya bagi menghimpunkan pemain reka bentuk IC tempatan bersama pemain industri global.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.