Majlis kemahiran pekerjaan mula tahun depan, tangani ketidakpadanan tenaga kerja

9 Ogos 2026, 12:00 AM
Majlis kemahiran pekerjaan mula tahun depan, tangani ketidakpadanan tenaga kerja
Majlis kemahiran pekerjaan mula tahun depan, tangani ketidakpadanan tenaga kerja
Majlis kemahiran pekerjaan mula tahun depan, tangani ketidakpadanan tenaga kerja
Majlis kemahiran pekerjaan mula tahun depan, tangani ketidakpadanan tenaga kerja

SHAH ALAM, 9 OGOS: Majlis Kemahiran Pekerjaan Selangor yang diumumkan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dijangka dimulakan tahun depan sebagai platform menyelaras keperluan kemahiran tenaga kerja dengan kehendak sebenar industri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penubuhan majlis berkenaan penting bagi mengenal pasti bidang kemahiran yang menjadi keutamaan industri supaya penawaran latihan termasuk bidang teknikal dan vokasional dapat disesuaikan dengan keperluan pasaran pekerjaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) ketika sidang media selepas merasmikan Program Mega Jobcare Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Seksyen 14, Shah Alam pada 8 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Ia akan bermula dalam tempoh lima tahun. Kebarangkalian paling segera tahun depan kita akan buat Majlis Kemahiran Pekerjaan Selangor. Di sana kita akan himpunkan pemain industri bersama dengan institusi latihan.

“Kita kenal pasti apakah bidang-bidang keutamaan yang perlu dibangunkan supaya latihan dan penawaran kerja termasuklah teknikal dan vokasional berpadanan dengan kemahiran yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Karnival Kerjaya Mega Jobcare Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam.

Menurut Amirudin, majlis itu akan menghimpunkan pemain industri, ahli akademik, penggubal dasar dan pekerja bagi merangka hala tuju pembangunan kemahiran tenaga kerja yang lebih responsif terhadap perubahan keperluan industri.

Katanya, pendekatan itu juga mengambil kira pengalaman Kerajaan Negeri menerusi pelbagai program berkaitan pekerjaan, termasuk Program Selangor Career Outreach (SCOUT), yang antara lain membantu mengenal pasti isu ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran kerja.

“Melalui pengalaman yang kita ada dalam pelbagai program, termasuk SCOUT, kita dapat melihat masih berlaku ketidakpadanan antara kemahiran yang dimiliki dengan keperluan pekerjaan.

“Jadi, kita mahu perkara ini diselaraskan dengan lebih baik melalui majlis yang menghimpunkan semua pihak berkaitan,” katanya.

Pengunjung mencari peluang pekerjaan ketika program Mega Jobcare Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 8 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Kelmarin, ketika membentangkan usul RS-2 di Dewan Negeri Selangor (DNS), Amirudin berkata penubuhan Majlis Kemahiran Pekerjaan Selangor bertujuan menyelaras pembangunan kemahiran tenaga kerja supaya lebih sepadan dengan keperluan industri semasa.

Penubuhan majlis itu merupakan antara langkah Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem pembangunan bakat dan tenaga kerja Selangor bagi memastikan latihan yang ditawarkan terus relevan dengan perubahan pasaran pekerjaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.