PRN Melaka: Pengundi pernah buat keputusan 'ekstrem' pada 2022 – Amirudin

24 Okt 2026, 3:21 PM
PRN Melaka: Pengundi pernah buat keputusan 'ekstrem' pada 2022 – Amirudin

KRUBONG, 24 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) yakin mampu kembali menerajui pentadbiran Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berdasarkan rekod kemenangan gabungan itu dalam pilihan raya terdahulu.

Pengarah Pilihan Raya HARAPAN, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, kejayaan membentuk kerajaan negeri pada 2018 dan kemenangan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 membuktikan sokongan pengundi Melaka boleh berubah.

Menurutnya, tanggapan bahawa Melaka kekal sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) tidak semestinya mencerminkan keputusan sebenar pengundi.

“Melaka ini kalau cakap apa pun dia tak akan berubah, tetap nak undi Barisan Nasional, inilah kata-kata yang pernah diucapkan sebelum ini.

“Selepas 2018 rakyat Melaka mempunyai kebijaksanaan pada tahun 2018 (PRU) bila kita angkat Adly Zahari selaku Ketua Menteri Melaka… Alhamdulillah tiada berita buruk yang disampaikan.

“Dalam PRU 2022 rakyat Melaka buat keputusan lebih ekstrem, HARAPAN menang majoriti kerusi Parlimen, sebab itu HARAPAN datang kali ini dengan harapan lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon HARAPAN dan Pelancaran Jentera PRN Melaka di Stadium Hang Jebat di sini, malam ini.

Mengimbas pentadbiran HARAPAN pada 2018, Amirudin menyifatkan usaha gabungan itu mentadbir negeri terganggu akibat pergolakan politik dan perebutan kuasa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan HARAPAN kekal komited membawa agenda pembangunan dan dasar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat sekiranya kembali diberikan mandat.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor turut menjadikan pelaksanaan inisiatif pendidikan di negeri itu sebagai contoh dasar yang menurutnya boleh diperluas ke Melaka.

“Dalam Belanjawan 2026, kita biaya 4,000 rakyat di Selangor, pelajar di universiti milik Kerajaan Negeri pelajar-pelajar ini dapat 50 peratus tajaan percuma dari pihak Kerajaan Negeri.

“Kalau ini HARAPAN boleh buat di pusat atau negeri saya percaya di Melaka kita boleh buat perkara sama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi Melaka mengulangi sokongan yang diberikan kepada HARAPAN pada PRU15 bagi membolehkan gabungan berkenaan memperoleh mandat yang selesa untuk melaksanakan perancangannya.

“Ambil semangat tahun 2022 yang memberikan undi yang jelas kepada HARAPAN untuk kita menang dengan undi selesa.

“Walau ada gelora politik, kerajaan kita terbukti mampu stabilkan negara dan rakyat malah kedudukan ekonomi berada di tempat yang jauh lebih baik,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.