Selangor perkukuh industri rel, fokus infrastruktur dan bakat tempatan

26 Mei 2026, 1:00 PM
Selangor perkukuh industri rel, fokus infrastruktur dan bakat tempatan
Selangor perkukuh industri rel, fokus infrastruktur dan bakat tempatan
Selangor perkukuh industri rel, fokus infrastruktur dan bakat tempatan

SHAH ALAM, 26 MEI: Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan ekonomi berimpak tinggi menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu turut disokong melalui pembangunan jaringan pengangkutan awam bersepadu, moden dan lestari bagi memperkukuh kesalinghubungan antara daerah serta pelabuhan utama negara.

Selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berkenaan juga dijangka mempercepat pergerakan logistik industri dan merancakkan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Selangor perlu bersedia bukan sahaja dari sudut pembangunan infrastruktur, tetapi juga ekosistem industri, bakat mahir dan rantaian bekalan yang mampan bagi menyokong projek strategik seperti Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Jajaran Rel Selangor.

“Pembangunan industri rel tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak luar sebaliknya Selangor perlu memperkukuh keupayaan tempatan termasuk dalam aspek maintenance, repair and overhaul (MRO), pembangunan teknologi serta penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi agar kita mampu membina ekosistem rel yang lebih berdikari dan berdaya tahan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Amirudin berkata, Pelan Tindakan Bakat Selangor untuk Industri Rel yang dibangunkan Invest Selangor juga dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan negeri itu memiliki bakat dan kepakaran mencukupi dalam menyokong pertumbuhan sektor tersebut pada masa hadapan.

Beliau berkata inisiatif berkenaan selari dengan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh pembangunan industri rel serta memperkasa tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan industri.

Terdahulu, Amirudin turut mempengerusikan Mesyuarat Majlis Industri Rel Negeri Selangor Bilangan 1 Tahun 2026 di Menara Prasarana semalam bagi membincangkan hala tuju pembangunan industri rel dalam mendepani fasa transformasi pengangkutan awam negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Prasarana Malaysia Berhad berikutan kesudian menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan.

“Saya amat menghargai komitmen pemain industri dan agensi dalam menjayakan agenda mobiliti mampan demi masa depan Selangor yang lebih maju, berhubung dan berdaya saing,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.