SINGAPURA, 11 JUN: Seluruh rantaian nilai bagi sektor berimpak tinggi akan dipertingkat bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan, kata Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.
Sektor berkenaan antaranya semikonduktor, reka bentuk litar bersepadu (IC) dan industri pembuatan generasi baharu yang giat dijalankan di Selangor.
Beliau berkata ia seiring usaha memperkukuh pertumbuhan pelbagai industri antaranya elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, sains hayat, kenderaan elektrik dan ekonomi digital.
“Sektor ini akan mewakili fasa baharu transformasi ekonomi dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) selain menawar peluang tinggi kepada pelabur yang mahu pertumbuhan jangka panjang dalam pasaran Asean.
“Di Malaysia, Selangor berada di depan dalam transformasi ini. Matlamat Selangor mahu menjadi pintu gerbang pasaran negara, Asean dan diperluas ke rantau Asia Pasifik,” katanya.
Beliau berucap demikian dalam mesyuarat meja bulat pelaburan Siri Perhubungan: Membuka Peluang Strategik di Selangor anjuran bersama Invest Selangor dan OCBC Singapura pada 9 Jun..
Amirudin berkata Selangor juga menggalakkan penyertaan syarikat luar termasuk pengusaha telekomunikasi, infrastruktur digital, pusat data, teknologi serta perkhidmatan kewangan bagi memacu pelaburan lebih meluas.
Katanya, komitmen negeri bukan hanya tertumpu kepada promosi sahaja sebaliknya memudah cara pelaksanaan, menyokong pengembangan perniagaan atau membangun bakat demi memastikan kejayaan.
“Selangor sedia menjadi rakan strategik yang dipercayai. Sama ada sektor pembuatan, infrastruktur digital atau perluaskan rantaian bekalan atau meneroka pasaran baharu di Asean,” katanya.








