AMPANG JAYA, 28 OKT: Sesi penilaian semula Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark bukan sekadar untuk mengekalkan status Geopark Kebangsaan, malah membuka ruang menilai pencapaian dan mengenal pasti penambahbaikan bagi memperkukuh hala tuju pembangunannya.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pandangan, penemuan dan cadangan panel penilai akan menjadi panduan penting bagi memastikan GHL Geopark terus berkembang secara progresif, inklusif dan lestari.
“Sesi penilaian semula yang berlangsung minggu ini bukan sekadar proses untuk mengekalkan status sedia ada. Sebaliknya, ia merupakan peluang untuk kita menilai pencapaian yang telah diraih, mengenal pasti ruang penambahbaikan dan memperkukuhkan hala tuju pembangunan geopark bagi tahun-tahun mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penilaian Semula GHL Geopark 2026 yang turut dihadiri EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim di sini, malam tadi.
Amirudin berkata GHL Geopark turut membuktikan bahawa usaha memelihara warisan alam mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, pemerkasaan komuniti dan peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kedudukan geopark berkenaan di peringkat antarabangsa serta menuju pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark pada masa depan.
“Pendekatan yang dilaksanakan di geopark ini juga membuktikan bahawa pemuliharaan warisan bukanlah penghalang kepada pembangunan. Sebaliknya, ia boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, pemerkasaan komuniti dan peningkatan kualiti hidup masyarakat,” katanya.
Beliau menjelaskan pelbagai usaha pemuliharaan, penyelidikan, pendidikan awam dan pembangunan produk pelancongan telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu menerusi kerjasama Kerajaan Negeri, kementerian, pihak berkuasa tempatan, institusi akademik, badan bukan kerajaan serta komuniti setempat.
Dalam pada itu, Amirudin turut menekankan kepentingan komunikasi dan promosi berkesan bagi memperkenalkan keunikan GHL Geopark kepada masyarakat di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik kerjasama strategik antara Tourism Selangor dengan Canon Marketing Malaysia menerusi Memorandum Kolaborasi (MoC) bagi menyokong usaha pendokumentasian dan promosi melalui kandungan digital serta visual lebih kreatif dan berkualiti.

GHL Geopark yang diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 2022 meliputi kawasan seluas lebih 112,000 hektar, merangkumi dua Pejabat Daerah dan Tanah, tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 20 geotapak utama.
Kawasan berkenaan menyimpan khazanah geologi, biodiversiti, warisan budaya dan sejarah yang signifikan untuk dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Penilaian semula GHL Geopark berlangsung dari 26 hingga 30 Oktober ini sebagai proses berkala setiap empat tahun bagi menentukan kelayakannya mengekalkan status Geopark Kebangsaan.
Proses itu dikendalikan Prof Emeritus Dr Felix Tongkul selaku Ketua Panel Penilai, dengan Madeline George Pau dan Fredolin Javino sebagai pemerhati.











