SHAH ALAM, 28 OKT: Warisan budaya memainkan peranan penting dalam memperkukuh imej dan pengaruh Selangor kerana ia membentuk persepsi masyarakat luar terhadap identiti, tradisi dan pencapaian negeri ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemajuan sesebuah negeri perlu turut mencerminkan kekuatan budaya masyarakat, bukan sekadar pencapaian dari sudut pembangunan fizikal dan ekonomi.
“Pembangunan sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui pencapaian ekonomi, jumlah pelaburan atau peluang pekerjaan yang ditawarkan, tetapi juga melalui apa yang dikenali sebagai kuasa lunak (soft power).
“Jika budaya kita tidak diketengahkan, diperkaya, diperkukuh atau dipamerkan, pembangunan mungkin berkembang pesat dari segi skala tetapi tidak mempunyai jiwa sehingga gagal mencerminkan watak dan identiti budaya masyarakat kita,” katanya pada majlis penyerahan bangunan Muzium Setem Selangor di sini, hari ini.
Amirudin berkata bangunan muzium tersebut yang siap dibina mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh institusi kebudayaan, manakala Muzium Seni Moden Selangor dijangka siap awal tahun depan.

“Kita mahu menyatakan bahawa Selangor ialah negeri paling maju di Malaysia, tetapi dari segi budaya, tradisi dan cara hidup, kita juga mahu menunjukkan bahawa rakyat Selangor mempunyai keupayaan untuk memperkasa dan mengetengahkan warisan budaya mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan muzium tidak seharusnya terbatas kepada pameran artifak sejarah semata-mata, sebaliknya perlu memelihara pengalaman, kreativiti dan tradisi yang membentuk masyarakat.
“Setem bukan sekadar gambar, tetapi turut menyimpan sejarah,” katanya.
Amirudin berkata pengumpul setem yang berkelayakan, persatuan warisan dan pakar berkaitan akan dilibatkan dalam usaha membangunkan koleksi yang tulen serta mempunyai nilai sejarah untuk Muzium Setem Selangor.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan warisan filateli atau bidang pengumpulan dan kajian setem di Selangor terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Penubuhan Muzium Setem Selangor tercetus daripada minat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terhadap bidang filateli selepas Baginda mengunjungi pameran setem di Singapura pada 2011.
Perancangan pembangunan muzium berkenaan bermula pada 2016, sebelum mendapat kelulusan Kerajaan Negeri pada 2019 dan kerja pembinaan dimulakan pada 2020 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.








