SHAH ALAM, 7 MEI: Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor Saifuddin Shafi Muhammad menyelar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memutarbelitkan isu miskin tegar demi kepentingan politik sempit.
Beliau berkata kenyataan ketua pembangkang Dewan Negeri Selangor itu tidak berpaksikan fakta sebenar serta memperlihatkan kegagalan memahami data kemiskinan negara secara menyeluruh.
Jelas Saifuddin, usaha membasmi miskin tegar khususnya di Selangor bukan perkara baharu, malah menjadi agenda utama Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak hari pertama pentadbiran.
“Kerajaan tidak pernah menafikan kewujudan golongan memerlukan, sebaliknya pendekatan diambil berasaskan data rasmi dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang diguna pakai di peringkat nasional.
“Kerajaan Selangor bersama Kerajaan Persekutuan juga melaksanakan pelbagai bantuan kebajikan secara berterusan termasuk Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Khairat Darul Ehsan, Iltizam Selangor Sihat, Jom Shopping Perayaan serta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang terus diperkasa dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata pendekatan itu membuktikan kerajaan bukan sekadar bercakap soal kebajikan, malah melaksanakan intervensi secara langsung kepada rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa.
Tegas beliau, Azmin sebagai bekas menteri besar Selangor sepatutnya memahami bahawa data eKasih dan bantuan kebajikan adalah sebahagian daripada mekanisme pengesanan serta intervensi kerajaan, bukannya bukti kegagalan pentadbiran seperti didakwa.
Beliau turut berkata Kerajaan Negeri sentiasa menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya institusi zakat diperkasakan dan agenda membasmi kemiskinan diberi perhatian secara berterusan dan bersepadu.
“Segala intipati titah Tuanku dijadikan panduan dan pedoman oleh Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan Selangor terus lebih makmur, maju serta tidak meminggirkan golangan yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin mendakwa Azmin sendiri berada dalam “denial syndrome” ketika menjadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri apabila enggan mengakui peningkatan kes Covid-19 berpunca daripada kluster kilang walaupun data dan laporan jelas menunjukkan perkara itu.
“Janganlah hari ini Azmin mahu menjadi juara rakyat dengan memainkan sentimen miskin tegar sedangkan rekod pentadbirannya sendiri memperlihatkan kegagalan memahami data dan realiti di lapangan,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan Madani akan terus memberi fokus kepada agenda membela rakyat secara menyeluruh dan memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negara.








