Skim Khairat Darul Ehsan catat 186,681 pendaftaran, RM4 juta dibayar

6 Jan 2026, 9:45 AM
Skim Khairat Darul Ehsan catat 186,681 pendaftaran, RM4 juta dibayar

SHAH ALAM, 6 JAN: Skim Khairat Darul Ehsan (KDE) terus membuktikan peranannya dalam menjaga kebajikan rakyat Selangor apabila sebanyak RM4.049 juta telah disalurkan kepada waris sehingga Disember 2025.

Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan, skim berkenaan merekodkan 186,681 pendaftaran dengan 4,049 tuntutan berjaya diselesaikan setakat ini.

Menurut YAWAS, bantuan tersebut memberi kelegaan kepada waris yang berdepan saat sukar, khususnya dalam menguruskan kos awal selepas kehilangan insan tersayang.

“Komitmen ini akan terus diperkukuh demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Selangor,” menurut kenyataan itu.

Menerusi Belanjawan Selangor 2025, Kerajaan Negeri memperuntuk RM20 juta bagi menjayakan skim KDE yang dijangka memberi manfaat kepada 20,000 penerima.

Bantuan khairat kematian warga emas menerusi SMUE pernah dihentikan pada Mei 2019 sebelum disambung semula pada 2021 dengan peruntukan RM7.5 juta, membolehkan waris berdaftar menerima RM500.

Skim KDE yang ditambah baik kini menawarkan pampasan lebih tinggi serta liputan kumpulan sasaran lebih luas, seiring usaha Kerajaan Negeri memartabatkan kebajikan rakyat Selangor.

Permohonan baharu atau kemas kini maklumat boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal kde.yawas.com.my