SHAH ALAM, 27 APRIL: Kertas cadangan pendaftaran baharu bagi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) 2026 akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan.
EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata sebarang keputusan termasuk tarikh pembukaan pendaftaran akan dimaklumkan selepas kelulusan diperoleh.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri mengunjurkan seramai 100,000 warga emas akan mendaftar di bawah skim berkenaan dengan implikasi kewangan dianggarkan RM15 juta setahun.
“Kertas itu akan diangkat dalam MMKN dan akan dipertimbang dan diluluskan dalam masa terdekat,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan wakil rakyat Kota Damansara Muhammad Izuan Kasim mengenai rancangan Kerajaan Negeri untuk membuka pendafaran baru bagi SMUE pada tahun ini.

Anfaal menambah sehingga April 2026, terdapat 418,799 ahli aktif SMUE sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap skim kebajikan tersebut dalam kalangan warga emas di Selangor.
“Namun, proses pemutihan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) mendapati seramai 18,353 tidak memenuhi syarat kelayakan sebagai pengundi di Selangor dan telah dikeluarkan daripada senarai penerima aktif,” katanya.
Tambah Anfaal, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) terlibat boleh memohon untuk menambah senarai pasar raya penebusan baucar SMUE bagi memudahkan akses kepada warga emas untuk menebus baucar tersebut.
SMUE merupakan inisiatif kebajikan Selangor di bawah Iltizam Selangor Penyayang bagi membantu meringankan beban warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Menerusi Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM55 juta bagi pelaksanaan skim mesra yang memberi manfaat kepada individu berusia 60 tahun ke atas serta OKU.











