SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Negeri Selangor memantau perkembangan kira-kira 3,500 keluarga susah secara berkala setiap enam bulan bagi memastikan kelompok berkenaan tidak terjerumus ke dalam kategori miskin tegar.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan proaktif itu diambil kerana pentadbiran negeri tidak mahu menunggu sehingga sesebuah keluarga jatuh miskin tegar sebelum bantuan disalurkan.
Menurutnya, pelbagai bentuk sokongan berterusan diberikan termasuk Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Tahun 2026, kita bergerak setapak ke depan. Kita laksanakan program BINGKAS Tambahan untuk bantu lebih 3,000 keluarga yang berpotensi jatuh ke miskin tegar akibat hilang kerja, diserang penyakit atau isu kehidupan lain.
“Kita cuba pastikan atau nokhtahkan miskin tegar. Alhamdulillah, saya nak ingatkan tahun lalu kita sudah dapat nokhtahkan miskin tegar. Sebab itu kita akan teruskan catat pelaburan tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan dana khas bagi memperkukuh beberapa sektor penting termasuk pendidikan dan institusi keagamaan.
Menurutnya, sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi menambah baik fasiliti sekolah agama rakyat merangkumi pembelian meja, kerusi serta peranti digital bagi menyokong proses pembelajaran.
Selain itu, pengurusan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah turut menerima tambahan peruntukan RM2 juta berikutan masjid negeri itu mencatat kehadiran pelancong yang tinggi, dengan lebih 100,000 pengunjung direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Kerajaan Negeri turut menginsafi kepentingan rakyat untuk memiliki geran kediaman dan tanah. Untuk itu RM2 juta akan disediakan bagi mempercepatkan pendaftaran strata melibatkan proses-proses tertunggak.
“Seperti yang saya umumkan dalam Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri juga akan menawarkan kelas bahasa ketiga dengan peruntukan RM500,000 yang dibuka mulai 9 Februari ini, selain RM500,000 bagi pelaksanaan kelas literasi kewangan di sekolah bermula Mac,” katanya.





