SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Negeri sedang merangka hala tuju baharu bagi pelaksanaan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), termasuk meneliti cadangan menambah jumlah penerima.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata langkah itu bagi memperkukuh mekanisme pelaksanaan serta memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang layak dan memerlukan.
Beliau berkata tempoh pelaksanaan BINGKAS 2.0 akan berakhir pada Jun 2026, manakala fasa seterusnya dijangka bermula pada Julai tahun sama.
“Penilaian terhadap dasar dan polisi, mekanisme pelaksanaan dan keberkesanan program sedia ada akan dilaksanakan agar bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan.
“Cadangan meningkatkan jumlah penerima bantuan turut akan diteliti bagi pelaksanaan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Selain itu, beliau turut menyokong penuh cadangan wakil rakyat Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron agar perkhidmatan jurupulih pertuturan disediakan di setiap klinik SELCARE.
“Ia bagi memastikan intervensi awal dapat diberikan secara segera, mampu milik dan mudah akses terutama kepada kanak-kanak yang mengalami masalah lewat perkembangan,” katanya.
Selain itu, katanya pelantikan Danial Al-Rashid yang merupakan Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) sebagai Commonwealth Parliamentarians with Disabilities Regional Champion bagi Asia Tenggara mencerminkan kemampuan Selangor dan Malaysia menjuarai nasib dan suara golongan OKU di persada antarabangsa.
BINGKAS merupakan sebahagian daripada 46 insentif di bawah Iltizam Selangor Penyayang yang diperkenalkan pada 2022, menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).
Bermula tahun lalu, syarat permohonan BINGKAS turut dilonggarkan kepada isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.








