SHAH ALAM, 13 MAC: Sebanyak 40,400 baucar Jom Shopping bernilai RM200 diagih kepada golongan berpendapatan rendah sempena Aidilfitri tahun ini.
EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu program melibatkan peruntukan RM8.08 juta diharap dapat meringankan beban penerima membuat persiapan menyambut perayaan.
“Dana yang besar ini membuktikan kesungguhan pentadbiran negeri dalam menjaga kebajikan setiap lapisan masyarakat di Selangor.
“Setakat ini, status pengagihan baucar di seluruh negeri masih belum selesai sepenuhnya memandangkan tempoh pelaksanaan program dijadualkan berlangsung sehingga tarikh akhir pada 18 Mac 2026,” katanya kepada Media Selangor.
Baucar Jom Shopping Perayaan berjumlah RM200 seorang diperkenalkan bagi membantu keluarga berpendapatan bawah RM3,000 membeli barangan keperluan asas di pasar raya terpilih.
Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM18.48 juta bagi pelaksanaan program berkenaan, termasuk tambahan RM2 juta berbanding tahun lalu, yang bakal memberi manfaat kepada 92,400 penerima untuk membuat persiapan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkenal baucar Jom Shopping Hari Pahlawan Negara berjumlah RM200 seorang kepada 8,317 veteran dengan peruntukan keseluruhan RM1.7 juta.









