Hasil intervensi berterusan, kemiskinan tegar Selangor kini hanya 0.9 peratus

8 Okt 2026, 10:30 AM
Hasil intervensi berterusan, kemiskinan tegar Selangor kini hanya 0.9 peratus
Hasil intervensi berterusan, kemiskinan tegar Selangor kini hanya 0.9 peratus

SHAH ALAM, 8 OKT: Kadar kemiskinan relatif di Selangor mencatat sekitar lapan peratus pada 2025, manakala kadar kemiskinan tegar kini hanya 0.9 peratus hasil pelaksanaan pelbagai intervensi Kerajaan Negeri bersama agensi serta pihak berkaitan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha menangani kemiskinan tidak boleh hanya bergantung kepada pemberian bantuan secara sekali gus, sebaliknya perlu disusuli intervensi yang mampu meningkatkan keupayaan penerima untuk keluar daripada kemiskinan secara berterusan.

“Jadi itu adalah usaha daripada semua pihak yang pastinya daripada Jabatan Perdana Menteri ICU yang menyenggara, mengelola dan memantau insiden-insiden kemiskinan dalam negeri.

“Kemiskinan tegar tinggal 0.9 maknanya masih ada tinggal hampir satu peratus tetapi saya sudah buat program. Maknanya siapa yang masuk itu kita akan bantu dengan sokongan-sokongan kita supaya penerima-penerima sokongan itu, hidup mereka tidak dalam kategori miskin tegar.

“Sebenarnya sudah keluar lah (dari kategori miskin tegar), tapi kalau bantuan itu putus mereka akan masuk balik miskin tegar. Sebab itu kita perlukan program macam Sejati Mandani, keusahawanan yang dibuat supaya mereka boleh keluar daripada masalah kemiskinan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Sejahtera Madani-Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata intervensi Kerajaan Madani menerusi SIKR 3.0 turut merangkumi perlindungan sosial bagi mengurangkan beban keluarga sekiranya berlaku kematian dalam kalangan penerima.

Katanya, nilai perlindungan skim insurans meningkat daripada RM10,000 sebelum ini kepada RM13,500, manakala perlindungan bagi kematian akibat kemalangan meningkat kepada RM26,500.

“Ia membantu sebenarnya untuk kita tangani isu kemiskinan ni bukan hanya masa mereka hidup tapi apabila mereka meninggal dunia ahli keluarga paling tidak tidak ataupun kurang terbeban dengan bantuan skim insurans,” katanya.

Kerajaan memperuntuk RM20 juta bagi pelaksanaan SIKR 3.0, yang menyediakan perlindungan selama 12 bulan kepada 250,000 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar berdaftar dalam sistem eKasih.

Skim seliaan ICU JPM itu memberi perlindungan bagi menghadapi kejadian tidak dijangka seperti kematian, kemalangan dan hilang upaya kekal.

Di Selangor, jelajah ini melibatkan 500 isi rumah eKasih yang turut mendapat akses kepada pemeriksaan kesihatan yang disediakan oleh PruBSN melalui pertubuhan kebajikan rasminya, PruBSN Prihatin.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.