Kekalkan pencapaian sifar miskin tegar RS-1

27 Jul 2026, 1:00 AM
Kekalkan pencapaian sifar miskin tegar RS-1
Kekalkan pencapaian sifar miskin tegar RS-1

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kejayaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) mengurangkan kadar kemiskinan akan diteruskan dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi mengekal pencapaian sifar miskin tegar.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata pengalaman dan pencapaian RS-1 menjadi asas memperkukuh RS-2 melalui penambahbaikan dan peluasan program bantuan mengikut keperluan rakyat.

“RS-1 memberi formula berkesan dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di Selangor. Justeru, kita akan menilai segala pencapaian dan menambah baik inisiatif sedia ada supaya manfaatnya dapat diperluaskan kepada lebih ramai rakyat.

“Matlamat kita bukan sekadar mengekal pencapaian sifar miskin tegar tetapi memastikan lebih ramai penerima bantuan berjaya meningkatkan taraf hidup,” katanya kepada Media Selangor.

Pada 29 April, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Selangor mencapai sasaran sifar miskin tegar hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan.

Papparaidu juga menyifatkan kejayaan mencapai sasaran sifar miskin tegar antara pencapaian membanggakan sepanjang pelaksanaan RS-1.

Beliau menjelaskan ia membuktikan RS-1 bukan semata-mata kerangka pembangunan negeri, malah pemangkin kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pendekatan menyeluruh.

Katanya, kejayaan tersebut dicapai hasil kerjasama erat pentadbiran negeri dan pelbagai pihak termasuk agensi persekutuan, pihak berkuasa tempatan, ketua kampung dan jabatan berkaitan.

“Sasaran ini hanya dapat direalisasikan melalui kerjasama semua pihak agar setiap inisiatif memberi manfaat kepada rakyat," kata beliau lagi.

Papparaidu juga menyifatkan RS-1 sebagai kerangka pembangunan menyeluruh melibatkan semua portfolio pentadbiran negeri yang merangkumi segenap lapisan masyarakat.

Katanya, Karnival Kerjaya Jobcare Selangor dan Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor akan diteruskan dalam RS-2 supaya golongan berpendapatan rendah berpeluang meningkatkan taraf hidup.

"(Inisiatif) daripada golongan profesional sehingga kepada bayi yang baru dilahirkan. Sebab itu, saya melihat RS-1 sebagai satu dokumen atau kerangka kerja yang menyeluruh untuk warga Selangor.

“Pendekatan ini meletakkan Selangor pada landasan tepat untuk meneruskan pembangunan mampan, inklusif dan seimbang sekali gus memastikan manfaat kemajuan negeri dinikmati seluruh rakyat," katanya.

Mengulas pembentangan RS-2 tidak lama lagi, Papparaidu yakin pembangunan masa depan mementingkan aspek modal insan ekoran rakyat aset berharga dan pemacu kemajuan negeri.

"RS-2 akan membantu kita merangka langkah yang lebih baik berdasarkan pengalaman sepanjang pelaksanaan RS-1 supaya kita lebih bersedia dan mampu menangani cabaran mendatang," katanya.

Grafik Farah Azila Mustapha

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.