Balasan neraka bagi golongan kufur, dustakan kekuasaan Allah SWT (VIDEO)

24 Feb 2026, 12:02 PM
Balasan neraka bagi golongan kufur, dustakan kekuasaan Allah SWT (VIDEO)
Balasan neraka bagi golongan kufur, dustakan kekuasaan Allah SWT (VIDEO)
Balasan neraka bagi golongan kufur, dustakan kekuasaan Allah SWT (VIDEO)

SHAH ALAM, 24 FEB: Balasan azab neraka terhadap golongan yang kufur dan mendustakan kekuasaan Allah SWT ditegaskan dalam ayat keenam Surah al-Mulk.

Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin berkata menerusi ayat tersebut membuktikan Allah SWT sebagai pemilik alam, raja segala raja dan pencipta seluruh kejadian.

"Penegasan demi penegasan tentang kekuasaan-Nya dinyatakan, namun masih terdapat manusia yang berdegil dan ingkar terhadap perintah Allah SWT.

"Ayat keenam ini secara jelas menyebut bahawa bagi mereka yang kufur disediakan azab Jahanam sebagai balasan atas keingkaran tersebut.

"Apabila orang beriman membaca ayat berkaitan neraka, sepatutnya timbul rasa takut dan gusar dalam hati. Neraka bukan sekadar ungkapan atau kiasan, tetapi satu hakikat yang amat dahsyat," katanya menerusi program 30 Hari 30 Ayat al-Quran bersama Dato’ Menteri Besar sempena Ramadan.

Terdahulu, ayat keenam Surah al-Mulk dibacakan Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.

Tangkap layar rakaman video program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat sempena Ramadan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

Sebagai penutup kupasan, Amirudin menegaskan tadabbur al-Quran bukan sekadar bacaan, sebaliknya perlu meningkatkan keimanan dan mendorong umat Islam melakukan kebaikan terhadap manusia, alam sekitar, haiwan serta diri sendiri.

Beliau berharap peringatan menerusi ayat tersebut dapat membentuk jiwa yang sentiasa memohon perlindungan Allah SWT agar dijauhkan daripada azab neraka serta memperoleh keselamatan di akhirat kelak.

"Setiap kali membaca ayat Allah, iman mesti bertambah dan mendorong kita berbuat baik. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan, inilah masa terbaik untuk meneliti dan mengkaji al-Quran dengan lebih mendalam," katanya.

Berikut episod sebelum ini:

Episod 1: Kupasan 30 Hari 30 Ayat bersama MB kembali mewarnai Ramadan

Episod 2: Kebesaran, kekuasaan Allah SWT meliputi seluruh alam

Episod 3: Hidup dan mati adalah ujian, ukurannya amal terbaik

Episod 4: Tingkat ketakwaan, renung kebesaran Allah di sekeliling kita

Episod 5: Keindahan alam semesta didik manusia tentang ilmu, tawaduk