Kebesaran, kekuasaan Allah SWT meliputi seluruh alam (VIDEO)

19 Feb 2026, 12:02 PM
Kebesaran, kekuasaan Allah SWT meliputi seluruh alam (VIDEO)
Kebesaran, kekuasaan Allah SWT meliputi seluruh alam (VIDEO)

SHAH ALAM, 19 FEB: Program kupasan 30 Hari 30 Ayat menampilkan perkongsian tadabbur al-Quran oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dengan Surah Al-Mulk dipilih sebagai pengisian hari ini bagi mengajak masyarakat menghayati kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.

Dalam episod pertama, ayat pertama dalam surah tersebut dibaca oleh Amirudin dengan bimbingan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.

Manakala tetamu jemputan, Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin menghuraikan kandungan dan mesej ayat tersebut supaya lebih dekat dengan realiti kehidupan hari ini.

Menurut Dr Badli Shah, Surah Al-Mulk adalah surah ke-67 dalam al-Quran yang mengandungi 30 ayat dan bacaannya sering diamalkan bersama Surah Yasin dan Surah Al-Kahfi.

Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin menghuraikan kandungan dan ayat Surah Al-Mulk dalam progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Surah Al-Mulk mempunyai fadilat dan manfaatnya begitu besar kerana ia menjadi penghalang daripada azab kubur. Ramai umat Islam mengamalkannya secara berjemaah di masjid selepas solat Isyak,” katanya.

Beliau berkata, walaupun surah berkenaan memiliki 30 ayat pendek namun setiap ayat tersebut membawa pengajaran mendalam.

“Sebagai contoh, ayat pertama menegaskan Allah SWT memiliki kekuasaan mutlak ke atas seluruh alam; dari matahari hingga mata semut, dari sebesar-besar hingga sekecil-kecil makhluk.

“Allah SWT yang menguasai matahari, Allah SWT juga yang menguasai mata semut, dari sebesar-besar dan sekecil-kecilnya,” katanya.

Tangkap layar rakaman video progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat sempena Ramadan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

Sebagai penutup kupasan, Amiruddin berkata ayat pertama Surah Al-Mulk jelas menunjukkan hanya Allah SWT yang paling berkuasa manakala kedudukan manusia adalah hamba yang sentiasa bergantung sepenuhnya kepada-Nya.

“Surah Al-Mulk mengandungi mesej besar dalam membentuk keinsafan diri dan menjadi peringatan agar setiap umat Islam sentiasa memperbaiki amalan serta hubungan dengan Allah SWT,” katanya.

Berikut episod sebelum ini:

Episod 1: Kupasan 30 Hari 30 Ayat bersama MB kembali mewarnai Ramadan