Perbanyak amal ibadah, pelihara hubungan sesama manusia (VIDEO)

14 Mac 2026, 2:00 PM
Perbanyak amal ibadah, pelihara hubungan sesama manusia (VIDEO)

SHAH ALAM, 14 MAC: Surah Al-Mulk ayat 24 mengingatkan umat Islam supaya tidak leka dengan kehidupan dunia, sebaliknya memperbanyak amal ibadah serta menjaga hubungan sesama manusia.

Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi berkata ayat tersebut turut menegaskan bahawa Allah berkuasa menjadikan manusia berkembang biak di muka bumi.

Menurut beliau, pada akhirnya Allah juga yang akan menghimpunkan kembali seluruh umat manusia dengan keadaan yang berbeza mengikut amalan, ketakwaan atau kekufuran setiap individu.

“Selepas kita berkembang biak dan bertebatan, Allah juga yang kumpulkan kita. Maknanya Allah tidak lepaskan kita. Konotasi ini mengingatkan bahawa Allah itu Maha Pengasih.

“Bagi mereka yang taat dan bersyukur, maka akan dihimpunkan beserta limpahan kasih sayang Allah. Bagi mereka yang ingkar, maka berhimpunnya mereka itu untuk mendapat ancaman,” katanya.

Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi menghuraikan kandungan dan ayat Surah Al-Mulk dalam progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu, ayat tersebut dibacakan oleh Dato’ Menteri Besar dengan bimbingan Ahmad Fakhrurrazi menerusi program 30 Hari 30 Ayat al-Quran bersama Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan.

Dalam pada itu, Ahmad Fakhrurrazi turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia bagi memperoleh rahmat Allah pada Hari Pembalasan kelak.

“Pada Ramadan ini, pastikan hubungan dengan manusia tiada yang berbaki. Kalau kelemahan kita dengan Allah, mudah untuk Allah ampunkan. Tetapi pengkhianatan sesama manusia, pasti Allah akan adili,” katanya.

Sebagai penutup kupasan, Amirudin menyeru umat Islam supaya membudayakan amalan bermaafan agar kehidupan masyarakat lebih harmoni tanpa membawa beban kesalahan hingga ke Hari Kiamat.

Tangkap layar rakaman video progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat sempena Ramadan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Walaupun Allah beri peringatan berkenaan keimanan, tetapi hubungan sesama manusia harus dijaga. Jadikan amalan bermaafan itu menjadi sebahagian daripada perkara yang dilazimi dalam kehidupan kita.

“Malah kita umat Islam dianjurkan, apabila berlaku pertelagahan, harus menjadi pendamai dan bukannya batu api, apatah lagi mencipta kepalsuan yang menimbulkan kegusaran,” katanya.

Program tadabbur yang memasuki tahun keempat penganjuran itu disiarkan menerusi platform media sosial Amirudin Shari, Media Selangor dan TV Al-Hijrah bermula 1 Ramadan dengan kupasan Surah al-Mulk.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.